Peledak berbisa skuad hoki negara, Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal terus membuktikan kemampuannya dalam membantu Malaysia menewaskan New Zealand 6-4 pada aksi ketiga Piala Sultan Azlan Shah 2024.

Penjaring terbanyak kejohanan itu meledakkan hatrik keduanya selepas beliau melakukan perkara sama pada aksi sulung bertemu Pakistan, tempoh hari.

Baca Juga:

Anak buah Sarjit Singh bermula dengan cukup garang apabila berjaya membuka tirai jaringan seawal minit kedua hasil kuisan Faizal Saari yang menolak masuk hantaran Azrai.

Azrai menjadikan kedudukan 2-0 pada minit kelima selepas beliau mudah menolak masuk bola ketika situasi pukulan sudut penalti dalam menyempurnakan umpanan Marhan Jalil.

Hanya seminit kemudian giliran pemain muda, Azimuddin Syakir Kamaruddin meletakkan nama selaku penjaring hasil gol padang dihasilkannya susulan kesilapan pertahanan lawan gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.

Bagaikan mendapat tonik berharga berikutan kehadiran ribuan penyokong yang membanjiri Stadium Hoki Sultan Azlan Shah, Azrai menambah jaringan keempat buat skuad negara pada minit ke-14.

Ketinggalan empat gol, New Zealand memperkemaskan aksi pada suku kedua dan berupaya mendapatkan dua gol menerusi Jake Smith (minit ke-19) dan penalti strok Jonty Elmes (minit ke-28).

Aksi kemudiannya bertambah menarik dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dengan Muhajir Abdu Rauf menjadikan kedudukan 5-2 ketika aksi memasuki minit ke-52 dan kemudiannya Scott Cosslett merapatkan jurang pada minit ke-58.

Penjaga gol negara, Hafizuddin Othman turut bertindak cemerlang dalam menafikan satu lagi pukulan penalti strok diterima New Zealand.

Ketika New Zealand menggunakan taktikal ‘Power Play’ untuk menambah jaringan, Azrai Aizad melengkapkan hatrik pada minit ke-60.

Manakala pasukan lawan mendapatkan jaringan keempat menerusi pukulan sudut penalti Isaac Houlbrooke untuk kedudukan berakhir dengan memihak Malaysia.

Malam ini skuad negara akan beraksi menentang Jepun dalam usaha untuk berada di kelompok dua pasukan teratas dan hanya kemenangan akan merealisasikan impian tersebut.