Johor Darul Ta’zim (JDT) hampir menerima kejutan terbesar pada aksi ketiga Kejohanan Kelab ASEAN (ACC) Piala Shopee 2025/26 selepas bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk terikat 2-2 bertemu PKR  Svay Rieng di Morodok Techo National Stadium sebentar tadi.

Ia jelas merupakan detik penuh mencabar apabila kedua-dua jaringan tersebut hadir pada masa kecederaan.

Menurunkan beberapa muka yang jarang diturunkan seperti Mohamadou Sumareh, Moussa Sidibe dan Samu Castillejo jelas hampir memakan diri buat Xisco Munoz.

Malah, aksi Jairo da Silva juga turut menimbulkan kemarahan penyokong setia JDT.

Corak permainan yang ditampilkan JDT juga agak kucar-kacir hingga membolehkan pasukan tuan rumah mengeksploitasi keadaan tersebut.

Ia jelas dibuktikan apabila Cristian Roque meledakkan rembatan dari luar kawasan penalti yang gagal diselamatkan Andoni Zubiaurre pada minit ke-30 bagi meletakkan PKR Svay Rieng dihadapan.

Skuad Harimau Selatan terus dihukum berselang tujuh minit kemudian selepas Nhean Sosidan mudah menolak masuk bola hasil gerakan lincah dimulakan Kwame Peprah bagi menjadikan kedudukan 2-0.

Tersentak dengan dua gol tersebut, JDT memasukkan Heberty, Nacho Mendez, Natxo Insa, Matthew Davies dan Syahmi Safari bagi mengubah kedudukan.

Walaupun pada mulanya kelihatan cukup sukar buat JDT untuk mendapatkan jaringan, usaha tidak mengenal erti lelah itu membuahkan hasil pada masa kecederaan.

Bermula dengan tandukan Shane Lowry yang merapatkan defisit jaringan pada minit ke-92.

Empat minit kemudian, pemain pertahanan itu membantu La’vere Corbin-Ong untuk menyamakan kedudukan, juga menerusi tandukan bagi memastikan satu mata dibawa pulang JDT.

Dengan keputusan seri itu, JDT mengumpul tujuh mata dan hanya satu mata meninggalkan pencabar terdekat dari Vietnam, Thép Xanh Nam Định.