Johor Darul Ta’zim (JDT) mendedahkan bahawa tiada jualan tiket diperuntukkan kepada penyokong Selangor pada perlawanan Piala Sumbangsih 2024/25 di Stadium Sultan Ibrahim, 10 Mei nanti.

Menurut kenyataan dikeluarkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Alistair Edwards menerusi laman Facebook JOHOR Southern Tigers sebentar tadi, pihaknya tidak menerima sebarang permintaan tiket dari pasukan pelawat.

Baca Juga:

Hanya tiket pentas utama (Grandstand) diberikan bagi memenuhi permintaan Selangor dalam surat yang diterima oleh JDT tempoh hari.

Selangor menjadi lawan buat JDT bagi merebut Piala Sumbangsih setelah muncul naib juara Liga Super 2023 manakala skuad Harimau Selatan bergelar juara ‘treble’.

“Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) ingin mengesahkan bahawa kami tidak menerima sebarang pemintaan untuk peruntukan tiket penyokong lawan bagi perlawanan pembukaan Liga Malaysia musim 2024-25 antara Harimau Selatan dan Selangor FC di Stadium Sultan Ibrahim pada 10 Mei 2024.’’

“Atas sebab itu, tiket untuk penyokong lawan tidak diperuntukkan.’’

“JDT telah menerima surat dari Selangor FC bertarikh 1 Mei 2024 yang meminta polis pengiring, air mineral, minuman isotonik, ais dan 30 tiket grandstand untuk perlawanan itu yang akan menjadi perlawanan pertama Liga Super Malaysia dan juga perlawanan Piala Sumbangsih. JDT bersetuju untuk memenuhi permintaan itu.’’

“Ianya menjadi kebiasaan untuk pasukan lawan memohon peruntukan tiket sebelum jualan tiket dibuka kepada umum. JDT telah mengumumkan pada hari Jumaat bahawa jualan tiket akan bermula pada 5 Mei 2024 jam 2 petang.’’