Sejarah hitam melanda kem badminton Indonesia selepas gagal melepasi peringkat kumpulan dalam kempen Piala Thomas 2026.

Ia berikutan kekalahan 1-4 dialami ketika bertemu Perancis pada aksi terakhir saingan kumpulan D yang menjurus kepada episod sukar diterima penyokong setia badminton Indonesia.

Lebih perit untuk diperkatakan, Indonesia masih mampu mara ke suku akhir sekiranya tewas 2-3 tetapi sebaliknya yang berlaku.

Keadaan yang menyaksikan Thailand mara selaku juara manakala Perancis mengiringi sebagai naib juara.

Igauan Ngeri Buat Badminton Indonesia

Segalanya tampak tidak menjadi buat juara terbanyak dalam sejarah Piala Thomas itu apabila perseorangan pertama, Jonatan Christie tewas kepada Christo Popov 19-21, 14-21.

Pemain muda, Alwi Farhan juga tidak mampu menyumbangkan mata selepas kecundang ditangan Alex Lanier 16-21, 19-21 dan kemudiannya Anthony Sinisuka Ginting pula tewas kepada Toma Junior Popov 22-20, 15-21, 20-22.

Kejutan terus diterima Indonesia selepas pasangan beregu utama, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani tewas kepada Eloi Adam-Leo Rossi 19-21, 19-21 yang sekali gus meranapkan impian juara 14 kali itu untuk ke suku akhir.

Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri mendapatkan mata saguhati dengan kemenangan rubber set ke atas Christo Popov-Toma Junior Popov 21-18, 19-21, 21-11.

Peminat negara jiran itu jelas berang dengan kegagalan pasukan mereka melepasi peringkat kumpulan buat pertama kali dalam sejarah yang disifatkan sebagai episod hitam buat kem badminton negara tersebut.