Johor mempamerkan aksi meyakinkan untuk menewaskan skuad himpunan bintang, Kuala Lumpur (KL) pada aksi kumpulan kejohanan sepak takraw Piala Tun Ali 2023 yang berlangsung di Bukit Serindit, Melaka sebentar tadi.

Berdepan lawan yang dibarisi duo skuad kebangsaan iaity Syahir Rosdi (tekong) dan Amirul Zazwan Amir (pengumpan) serta kehadiran perejam legenda Thailand, Thawisak Thongsai tidak langsung merentap semangat trio Johor tersebut.

HYPE
Dari Konten Ke Jualan, TikTok Shop ‘Game Changer’ E-Dagang
Baca lagi →

Sebaliknya, Johor yang diperkuatkan dengan muka sama dalam saingan SepakTakraw League 2023 seperti Rattadech Noijaroen (tekong), Syahmi Syazwan (perejam) dan Farhan Adam (pengumpan) tampil dengan baik menyerap tekanan terutamanya pada set pertama dan ketiga.

Ia jelas dibuktikan apabila anak buah Ahmad Jais Baharun itu berjaya bangkit daripada ketinggalan 13-17 untuk mendapatkan tujuh mata berturut-turut dan kemudiannya memenangi set pertama dengan keputusan 21-18.

Tersentak dengan kebangkitan dipamerkan Johor, Kuala Lumpur memperkemaskan aksi untuk mencuri set kedua dengan kemenangan 21-14 bagi mengheret aksi ke set penentuan.

Set ketiga juga tidak kurang menarik untuk disaksikan dengan kedua-dua regu saling kejar mengejar mata.

Selepas terikat 13-13, Johor kelihatan semakin bernafsu untuk memburu kemenangan terutamanya bersandarkan kepada servis menarik oleh Rattadech serta rejaman berkualiti daripada Syahmi.

Kesempatan itu diambil Johor untuk memastikan kemenangan menjadi milik mereka dengan jurang 21-15.

Dengan kemenangan tersebut, Johor menamatkan saingan awal selaku johan kumpulan A manakala diikuti Kuala Lumpur sebagai naib johan.

Piala Tun Ali 2023 merupakan kejohanan edisi kedua setelah tahun lalu menyaksikan Johor muncul juara acara regu manakala kategori beregu menjadi milik Perak.