Perak mencipta sensasi pada aksi separuh akhir Piala Tun Ali 2023 selepas membenam cabaran skuad himpunan bintang, Kuala Lumpur ‘straight set’ pada aksi yang berlangsung di Bukit Serindit, sebentar tadi.

Kemenangan penuh bermakna dikecapi anak buah Dzafril Mohd Anuar  itu sekali gus menyaksikan perlawanan akhir yang diadakan esok bakal menemukan Perak dan Negeri Sembilan.

Baca Juga:

Disiplin tinggi jelas dipamerkan trio Perak yang diperkuatkan dengan kehadiran Jakkrit Thinbangbon selaku tekong, Noraizat Nordin (perejam) dan Aidil Aiman Azwawi (pengumpan).

Saingan sengit yang diberikan trio tersebut jelas memberikan sedikit kesukaran buat Syahir Rosdi (tekong) dan Amirul Zazwan Amir (pengumpan) serta  Thawisak Thongsai (perejam) untuk tampil dengan lebih baik.

Tambahan pula, Jakkrit beraksi dengan cukup cemerlang berbekalkan kepada lapan servis ‘ace’ yang dimiliki pada perlawanan ini.

Kuala Lumpur bagaimanapun bermula dengan baik apabila mendahului 7-3 pada permulaan permainan.

Namun, Perak kemudiannya tidak memberikan ruang buat mereka untuk memiliki defisit mata lebih besar hingga kedua-dua pasukan terikat 17-17.

Momentum cemerlang itu berterusan hingga membolehkan Jakkrit, Noraizat dan Aidil menamatkan set pertama dengan kemenangan 21-17.

Set kedua pula menyaksikan Perak pula mendapat kelebihan 14-10 pada satu ketika, tetapi kesilapan mudah dilakukan membolehkan Kuala Lumpur bangkit.

Saingan sengit itu dapat disaksikan hingga penghujung permainan tetapi moral pemain Perak jelas berada di tahap terbaik untuk memastikan tempat di final menjadi milik mereka dengan kemenangan 21-19.