Perak menjadi pasukan paling mencuri tumpuan dalam Kejohanan Sepak Takraw Piala Tun Ali 2024 apabila mara ke pentas final bagi ketiga-tiga acara yang dipertandingkan.

Aksi yang diadakan di Dewan Bola Keranjang MBMB, Bukit Serindit, Melaka itu menyaksikan Perak berjaya mengenepikan cabaran hebat diberikan Johor dalam acara regu lelaki.

Membariskan Meor Zulfikar Mat Amin dan Faris Jamsari selaku tekong, Muhammad Noraizat Nordin (apit kanan) serta apit kiri, Aidil Aiman Azwawi, Perak bagaimanapun tersentak pada set pertama.

Trio tersebut tewas 12-15 kepada Johor yang menyandarkan harapan kepada Rattadech Noijaroen (tekong), Khairol Zaman Hamir Akbar (apit kanan) dan Farhan Adam (apit kiri).

Johor hampir mengesahkan kemaraan ke perlawanan akhir apabila mendahului 14-13, namun mereka gagal untuk mengambil kesempatan tersebut sekali gus membolehkan Perak bangkit dan menang 17-15.

Corak permainan sengit diteruskan pada set ketiga dengan aksi saling kejar-mengejar yang akhirnya jelas memihak Perak untuk menang 15-12 sekali gus bakal menanti pasukan pilihan, Kuala Lumpur di final.

Perak merupakan juara bertahan Piala Tun Ali selepas menundukkan Negeri Sembilan pada edisi lalu.

Pada aksi terdahulu dalam acara beregu, Perak yang dibarisi Asyraaf Hadi dan Yodsanon Laemthaisong menundukkan Pahang 2-0 hasil kemenangan 15-13, 17-16.

Perak akan bertemu Kedah yang beraksi cemerlang menundukkan Pulau Pinang 15-11, 17-14.

Sementara itu pasukan beregu wanita Perak turut cemerlang ke final untuk berdepan Kuala Lumpur selepas menewaskan Selangor 15-10, 15-6.