Siapa sahaja tidak kecewa sekiranya data yang mengandungi hasil kerja penyuntingan video atau filem lesap dari pandangan hanya disebabkan kecuaian kecil atau tersalah tekan sesuatu butang pada komputer.
Pastinya mencemaskan dan situasi sebegini katanya pernah berlaku pada kru produksi filem Pixar yang dahulunya hampir kehilangan data yang mengandungi hasil kerja filem Toy Story 2.
Difahamkan, isu ini berpunca daripada kesalahan teknikal yang secara tidak sengaja dilakukan oleh salah seorang pekerjanya, memetik laporan halaman The Next Web.
Pada 1998, pengarah teknikal Pixar, Oren Jacob pada ketika itu menonton semula filem Toy Story 2 ini sebagai semakan terakhir sebelum ia ditayangkan di pawagam pada tahun 1999. Semasa menonton, mereka telah mendapati bahawa satu demi satu lukisan pada pakaian karakter Woody hilang secara tiba-tiba.
“Kami mula perasan berlaku kerosakan teknikal dalam filem ini menerusi karakter Woody,” imbas kembali Oren Jacob semasa dalam fasa pembikinan filem ini.

Menurut halaman Mental Floss, Ed Catmull, penolong pengarah Pixar pada ketika itu menjelaskan bahawa data filem Toy Story 2 ini hilang dan rosak disebabkan salah seorang pekerja Pixar yang tidak sengaja memasukkan kod ‘/bin/rm -r -f *’ pada command prompt komputer. Kesannya, 90% data filem Toy Story 2 hilang dan hanya 10% sahaja yang tinggal.
Keadaan bertambah panik dan ini telah memaksa Galyn Susman, penolong pengarah teknikal Pixar, meminta salinan pita rakaman filem ini versi DVD daripada kru IT. Malangnya, salinan itu juga dilaporkan rosak. Tambah kecewa, pihak Pixar sendiri juga tidak ada menyimpan salinan filem tersebut.
Situasi ini dikatakan sebagai satu ‘mimpi ngeri’ buat Pixar. Mana tidaknya, bajet $90juta (RM371.1 juta) yang dilaburkan untuk filem ini telah menyebabkan kerugian besar. Meruntunkan jiwa apabila hasil kerja selama setahun oleh 30 orang pelukis untuk filem ini, hilang dalam beberapa saat angkara satu kesalahan kecil. Daripada sini, Pixar mula sedar bahawa pentingnya protokol penyimpanan salinan untuk setiap karya mereka.
Tarikh untuk tayangan filem ini hampir dekat dan Galyn Susman pada ketika itu dalam fasa berpantang selepas dia melahirkan anak keduanya. Berikutan itu beliau disuruh Pixar untuk berkerja dari rumah. Sepanjang berada di rumah, Galyn teringat bahawa dia pernah menyimpan salinan filem ini dalam komputer riba anaknya. Siapa sangka, ternyata salinan filem ini benar-benar tersimpan rapi dalam komputer riba itu.

“Sebagai seorang ibu, filem animasi amatlah sesuai untuk hiburan anak-anak saya. Jadi, filem Toy Story 2 ini telah saya salinkan dalam komputer riba anak saya sebagai hiburan untuk mereka.
“Rezeki tak salah alamat, filem Toy Story 2 berjaya diselamatkan gara-gara anak sulung saya,” ujar Galyn.
Lantaran itu, Galyn menelefon Oren untuk menjemput komputer riba itu lalu dibawa ke studio Pixar. Dengan menaiki sebuah kereta Volvo, Oren memeluk komputer riba itu dengan rapi sambil melilitkan ia dengan tali pinggang keselamatan manakala Galyn memandu kereta itu dengan kalajuan 35 kilometer per jam sehingga sampai ke studio Pixar dalam keadaan tekanan dan berpeluh ‘nervous’.
“Kami segera menyalin semula data Toy Story 2 daripada komputer riba Galyn. Namun sayangnya, data tersebut hanya menyimpan 70% sahaja filem yang telah siap kerana ia disimpan dua minggu sebelum Toy Story 2 siap sepenuhnya,” kata Oren.
Difahamkan, secara keseluruhannya filem ini memerlukan 100,000 fail lukisan untuk melengkapkan durasi filemnya. Menerusi data 70% yang disimpan itu, sebanyak 30,000 fail lukisan lagi diperlukan Pixar untuk menyempurnakan filem ini.
“Seluruh kru bekerja 8 jam sehari, 7 hari seminggu serta mengikut giliran kerja siang dan tidak tidur malam dalam usaha menyiapkan pembikinan semula filem ini dengan plot cerita yang baharu,” jelas Oren lagi.
Walau bagaimanapun, filem Toy Story 2 akhirnya berjaya diselamatkan tepat sebelum tarikh tayangannya. Oren Jacob berkata ia merupakan memori serta nilai persahabatan yang wujud dalam suasana kerja yang tidak akan beliau melupakan sampai bila-bila.
Baca lagi artikel mengenai filem-filem yang menarik menerusi pautan di bawah ini.
Avatar Tewaskan Avengers: Endgame, Kembali Muncul Filem Paling Laris Di Dunia
Ini Antara Filem Menarik Yang Menanti Anda Di Pawagam Bermula 5 Mac 2021
Pengarah Filem Ternama Puji Roh, Dakwa Ia Salah Satu Karya ‘Amazing’ Baginya