Walaupun rumah tangga sedang bergolak, pempengaruh media sosial dan pembuat pizza, Jofliam dinobatkan sebagai pembuat pizza nombor 99 daripada 100 terbaik dunia dalam pertandingan The Best Pizza 2024.
Kemenangan ini berjaya diraih menerusi kepakaran Jofliam yang memperkenalkan menu istimewa iaitu Pizza Wagyu sekaligus meletakkan dirinya sebaris dengan chef pizza terkemuka lain di dunia.

Anugerah berprestij ini telah dikongsikan menerusi laman Instagram rasmi @top100pizza, yang mana terpampang poster pencapaian Jofliam atau nama sebenarnya Jofli Abu Bakar sebagai wakil Malaysia dalam arena pizza antarabangsa.
Kemenangan beliau sememangnya menjadi kebanggaan rakyat Malaysia dan meletakkan satu aras baharu di dalam industri pembuatan pizza di sini.
Menerusi Instagram Story, Jofliam menzahirkan rasa syukur dengan kejayaan yang dikecapi dan menyifatkan ia bukan sesuatu yang mudah.
“Dari berpuluh ribu, di senaraikan dalam 200 terbaik (pizza), akhirnya ke 100 terbaik,” tulisnya.
Pencapaian yang dikecapi ini bukanlah satu yang mudah lebih-lebih lagi perlu bersaing dengan negara asal pembuatannya yang memiliki resepi turun-temurun.
Dalam pertandingan ini, gelaran pembuat pizza terbaik dunia bagi tahun 2024 dimenangi oleh chef Franco Pepe dari Itali.