Pernahkah anda tengah syok menonton video di YouTube, tiba-tiba keluar iklan pelaburan ‘skim cepat kaya’ atau promosi judi dalam talian secara terang-terangan?
Situasi ini bukan lagi perkara asing bagi pengguna internet di Malaysia.
Malah, penyebaran kandungan memudaratkan ini mendorong Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memfailkan dua saman terhadap sebuah syarikat teknologi global atas dakwaan gagal mengambil tindakan sewajarnya bagi mengekang kandungan berbahaya di platform tersebut.
Di sebalik proses perundangan yang bakal berjalan, isu ini membangkitkan satu persoalan besar iaitu di manakah letaknya akauntabiliti sebenar platform digital dalam menjaga keselamatan pengguna?
Cukupkah Sekadar Tunggu Aduan Baru Bertindak?

Selama ini, kebanyakan gergasi teknologi menggunakan pendekatan reaktif iaitu kandungan berbahaya hanya diturunkan selepas pengguna membuat laporan atau selepas pihak berkuasa menghantar notis rasmi.
Namun, mekanisme ‘tunggu dan lihat’ ini tidak lagi memadai. Apabila iklan scam berjaya melepasi tapisan dan ditonton ratusan ribu pengguna, wang simpanan mangsa mungkin sudah lesap sebelum kandungan itu sempat dipadamkan.
Syarikat teknologi memiliki kecerdasan buatan (AI) dan algoritma canggih yang mampu meneka minat tontonan kita dengan tepat.
Keupayaan yang sama sepatutnya digunakan secara proaktif untuk menyekat iklan judi dan penipuan sejak awal, bukan meletakkan beban tersebut di bahu pengguna serta pihak berkuasa semata-mata.
Keselamatan Rakyat Dan Undang-Undang Tempatan
Bagi platform digital, setiap klik mungkin diterjemahkan sebagai keuntungan komersial.
Namun bagi rakyat, ia membawa impak dunia sebenar di mana daripada kerugian wang simpanan seumur hidup akibat scam, sehinggalah pendedahan kandungan tidak bermoral dan perjudian kepada kanak-kanak serta golongan rentan.
Justeru, syarikat teknologi global yang beroperasi dan menjana pendapatan di Malaysia wajib mematuhi undang-undang tempatan, selaras dengan penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA).
Langkah kawal selia ini bukan bertujuan menyekat kebebasan bersuara, tetapi meletakkan sempadan jelas antara hak bersuara dengan aktiviti jenayah.
Buat masa ini, segala dakwaan dalam saman terhadap syarikat teknologi global berkenaan akan ditentukan melalui proses kehakiman.
Satu perkara yang jelas adalah platform digital bukan sekadar ruang untuk berkongsi kandungan, tetapi turut memikul tanggungjawab besar memastikan ruang tersebut selamat untuk semua.