Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga tiga mangsa yang maut selepas dilanggar lori Jabatan Imigresen Malaysia di persimpangan lampu isyarat Maju Junction, Jalan Sultan Ismail, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, tiga sekeluarga iaitu seorang lelaki berusia 53 tahun serta dua anak perempuannya masing-masing berusia 25 dan 12 tahun maut di tempat kejadian.
Anwar berkata beliau sudah mengarahkan Jabatan Imigresen supaya menjalankan siasatan dengan segera dan menyeluruh berhubung kejadian berkenaan.
Katanya, sekiranya terdapat unsur kecuaian atau pelanggaran undang-undang, tindakan sewajarnya mesti diambil tanpa kompromi.
“Salam takziah buat mereka yang terkorban dalam insiden tragis ini.
“Saya telah mengarahkan Jabatan Imigresen supaya menjalankan siasatan dengan segera dan menyeluruh. Jika terdapat kecuaian atau pelanggaran undang-undang, tindakan sewajarnya mesti diambil tanpa kompromi.
“Al-Fatihah,” katanya menerusi kenyataan.
Sebelum ini, polis memaklumkan lori berkenaan dipercayai memasuki persimpangan ketika lampu isyarat merah dengan lampu beacon dan siren diaktifkan sebelum bertembung dengan sebuah Proton Saga yang bergerak ketika lampu hijau.
Lori berkenaan kemudian hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar empat pejalan kaki daripada sebuah keluarga serta sebuah kenderaan lain.
Salam takziah buat mereka yang terkorban dalam insiden tragis ini.
Saya telah mengarahkan Jabatan Imigresen supaya menjalankan siasatan dengan segera dan menyeluruh. Jika terdapat kecuaian atau pelanggaran undang-undang, tindakan sewajarnya mesti diambil tanpa kompromi.… pic.twitter.com/Saa1RJfeyA
— Anwar Ibrahim (@anwaribrahim) August 19, 2026
Pemandu lori dan Proton Saga telah ditahan bagi membantu siasatan. Ujian alkohol dan saringan awal air kencing terhadap kedua-duanya juga didapati negatif.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.