Isu pembinaan rumah ibadat tanpa permit sering kali menjadi topik sensitif di negara kita. Namun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini tampil dengan pendirian tegas: Undang-undang tetap undang-undang.

Dalam satu amanat di Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Perpaduan Negara, beliau mengumumkan bahawa pihak berkuasa tempatan (PBT) kini diberi “lampu hijau” untuk membersihkan mana-mana rumah ibadat yang dibina secara haram atau sengaja menceroboh tanah yang bukan hak mereka.

Ramai mungkin bimbang tindakan ini akan mencetuskan ketegangan kaum, namun PM menjelaskan bahawa ketegasan ini bukan bertujuan menyerang mana-mana agama.

“Masjid kena ikut peraturan, gereja kena ikut peraturan, begitu juga rumah ibadat lain. Pokoknya, jangan bina di tempat yang tidak sah,” tegas beliau lapor Harian Metro.

Menurut Anwar, kerajaan mahu mengelakkan budaya “pacak” rumah ibadat di bawah pokok atau di atas tanah orang lain tanpa kebenaran. Beliau menyifatkan tindakan membendung percambahan bangunan tidak sah ini sebagai langkah menjaga kedaulatan negara hukum.

Walaupun kerajaan mengambil pendirian tegas, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa tindakan yang diambil tidak akan dilakukan secara melulu. Beliau menekankan bahawa setiap masalah harus diselesaikan dengan cara baik melalui rundingan, bukannya melalui pergaduhan atau konfrontasi yang boleh menjejaskan keharmonian.

Selain itu, kerajaan juga sedia memberikan pertimbangan khas bagi kes-kes tertentu, seperti rumah ibadat yang telah lama wujud sehingga mencecah usia 200 tahun walaupun tidak mempunyai geran yang sah.

Beliau turut menegaskan bahawa sementara Islam kekal sebagai agama Persekutuan, hak penganut agama lain untuk beribadat tetap dihormati sepenuhnya, asalkan mereka mematuhi peraturan tanah dan undang-undang perbandaran yang telah ditetapkan.

Sebagai contoh pembangunan yang mengikut saluran betul, PM menyebut mengenai cadangan pembinaan eskalator di Batu Caves.

Oleh kerana Batu Caves adalah tapak yang sah dan mendapat kelulusan, cadangan membina eskalator untuk memudahkan pengunjung tidak menjadi masalah kerana ia tidak merampas hak sesiapa atau mengganggu tanah pihak lain.

Langkah ini sebenarnya bukan perkara baru, malah telah dipersetujui oleh kerajaan-kerajaan terdahulu.

Matlamatnya cuma satu: Mahu memastikan semua pihak hidup dalam harmoni tanpa ada isu pencerobohan tanah yang boleh mencetuskan pergaduhan di kemudian hari.

Dengan arahan terbaharu ini, diharapkan semua pihak lebih peka dan mendapatkan kelulusan sah sebelum mendirikan sebarang premis ibadat demi kebaikan bersama.