Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Kementerian Pendidikan Tinggi untuk memberikan bantuan kepada keluarga nahas bas Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Menerusi kenyataan rasmi yang dikongsikan, beliau dan isteri, Dato’ Seri Dr. Hajah Wan Azizah, merakamkan ucapan dukacita berhubung insiden tersebut.

“Saya dan Azizah amat berdukacita menerima perkhabaran nahas tragis awal pagi tadi berhampiran Gerik yang melibatkan sebuah bas dan beberapa kenderaan lain, mengorbankan 15 pelajar.

“Takziah kepada semua keluarga mangsa. Kami mendoakan agar kalian diberi kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi dugaan yang amat berat ini.

Tambahnya lagi, beliau berharap insiden seperti ini tidak lagi terus berulang pada masa akan datang.

“Musibah menyayat hati sebegini yang sering kali berulang seharusnya menjadi pengajaran buat semua agar sentiasa berhati-hati dan usah terburu-buru mengejar destinasi.

“Nyawa kalian terlalu berharga dan tiada galang ganti,” katanya lagi.

Terdahulu, media melaporkan seramai 15 orang disahkan maut dalam satu kemalangan melibatkan sebuah bas yang membawa pelajar UPSI dan sebuah Perodua Alza di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, awal pagi tadi.