Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) mendedahkan bahawa 70% hingga 80% kos lawatan rasminya ke lima negara baru-baru ini telah di taja oleh syarikat-syarikat swasta, lapor The Edge.
Langkah ini, menurut Anwar, adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk menguruskan perbelanjaan lawatan luar negara dengan lebih cekap.
“Ini syarikat yang ada kepentingan pelaburan dan perniagaan di negara-negara yang saya lawati. Jadi mereka tanggung kos tambang dan perbelanjaan lain. Kalau tidak silap, sekitar 70% hingga 80% kos penerbangan ditanggung oleh mereka.
“Sebagai balasan, kerajaan membantu syarikat-syarikat ini, sama ada dalam urusan eksport mahupun import,” kata Anwar semasa sesi Soalan Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.
Antara syarikat yang menyumbang adalah seperti Petroliam Nasional Bhd (Petronas), Sapura Energy Bhd, Yinson Holdings Bhd, Proton Holdings Bhd, dan beberapa syarikat semikonduktor.
Anwar berkata, beliau bersama Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, bekerjasama mengundang syarikat-syarikat ini untuk turut serta dalam lawatan tersebut.
Anwar menjelaskan bahawa jumlah penuh kos lawatan masih belum diperincikan kerana beliau baru sahaja pulang dari lawatan itu pada malam Rabu.
Namun, beliau mengakui bahawa kosnya memang tinggi, memandangkan lawatan tersebut melibatkan perjalanan meluas ke tiga benua termasuk Kuala Lumpur, Kaherah, Riyadh, Lima, Rio de Janeiro, dan Doha.
“Namun, 75% daripada kos ditanggung oleh syarikat-syarikat yang disebutkan tadi,” jelasnya lagi.
Anwar turut memimpin delegasi Malaysia ke beberapa acara penting sepanjang lawatan 11 hari itu, termasuk Minggu Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (AELW) ke-31, Sidang Kemuncak G20, serta Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab dan Islam.
Pendedahan ini telah mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan rakyat Malaysia.
Ada yang mungkin melihat ini sebagai langkah bijak untuk mengurangkan beban kewangan kerajaan, tetapi ada juga yang akan mempersoalkan sejauh mana kebergantungan kerajaan terhadap pihak swasta dalam urusan rasmi negara.