Polis dilaporkan berjaya menahan 580 individu yang disyaki terlibat dengan kegiatan judi dalam talian dalam 554 serbuan menerusi Op Dadu Khas di Johor sejak 1 Januari sehingga 6 Mei lalu.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata kesemua yang ditahan berusia 17 hingga 60 tahun, yang terdiri daripada 562 penjaga premis dan 18 pemain judi.

Baca Juga:

Sumber Gambar: Sinar Harian

Beliau berkata sebanyak 44 premis diambil tindakan pemotongan bekalan elektrik oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB), manakala lapan premis telah mendapat kelulusan pembatalan lesen daripada pihak berkuasa tempatan.

Bahkan, pihak polis berjaya merampas 606 unit telefon bimbit pelbagai jenama, tujuh unit tablet, enam unit komputer riba dan wang tunai berjumlah RM190,890.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 4 (1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang daripada RM50,000 dan penjara maksimum tiga tahun, jika disabit kesalahan.

Kamarul Zaman berkata tahun lepas 1,080 individu ditahan melibatkan 1,012 penjaga premis dan 68 pemain judi dalam talian, semuanya berumur antara 17 dan 60 tahun.

Susulan itu, anda yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kegiatan perjudian dalam talian boleh salurkan kepada balai polis berhampiran atau pun bilik polis Johordi talian 07-221 2999 atau 07-225 4677.