Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengedarkan lakaran wajah suspek kes simbah asid terhadap pemain pasukan Selangor FC, Faisal Halim.

Menurut satu kenyataan rasmi, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata anggaran umur suspek ialah 30 tahun dengan ketinggian 165 sentimeter.

Baca Juga:

Beliau memaklumkan suspek juga mempunyai susuk badan sederhana dan berkulit sawo matang.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai individu seperti lakaran diminta menghubungi pegawai penyiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/Undang-undang (D6), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Inspektor M.Jagachandran di talian 012-6848166 / 03-2266 6071 atau tampil di mana-mana balai polis berdekatan.

Dalam kejadian 5 Mei lalu, Faisal cedera disimbah asid ketika berada di sebuah pusat membeli-belah di Petaling Jaya. Dua lelaki bermotosikal dikatakan menghampirinya sebelum bertindak menyimbah asid.

Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC (SFC), Dr Johan Kamal Hamidon mendedahkan Faisal Halim sebenarnya disimbah asid sulfurik pekat sehingga melecur ke tahap empat.

Asid sulfurik (sulphuric acid) pekat, H2SO4, ialah cecair yang tak berwarna tetapi sangat berbahaya kerana sangat mengkakis (corrosive) dan mengakibatkan kulit melepuh dan melecur. Kesannya sangat teruk jika terkena kulit.

Seorang pengguna laman sosial menjelaskan asid sulfurik ini mudah didapati di kedai hardware. Ia biasannya digunakan untuk mengatasi masalah paip tersumbat.

Ini adalah kejadian kedua yang melibatkan seorang lagi pemain Harimau Malaya selepas Akhyar Rashid dipukul dan disamun sehingga menerima jahitan di kepala serta kaki pada minggu lalu.