Pada hari semalam tular satu rakaman video di mana sebuah ambulans ditahan oleh dua anggota polis untuk memberikan laluan kepada konvoi VVIP. Rakaman video itu telah menyebabkan orang ramai ‘naik angin’ dengan kejadian tersebut.
Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bharu Utara (JBU), Asisten Komisioner Rupiah Abd Wahid berkata, tindakan tersebut sebenarnya bukan untuk memberikan laluan kepada konvoi, sebaliknya bagi mengelakkan pertembungan antara dua kenderaan terbabit.
Kedua-dua anggota itu menjalankan penugasan kawalan lalu lintas sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia yang diadakan di Plaza Angsana Johor Bahru. Anggota terbabit ditugaskan membuat cut off/point duty di persempadanan daerah Johor Bahru Selatan – JBU dari Jalan Danga Bay menghala ke Skudai ketika kejadian.
https://www.tiktok.com/@starex_kavin/video/7071986417076833563?is_copy_url=1&is_from_webapp=v1&refer=embed&referer_url=https%3A%2F%2Fwww.thevocket.com%2F&referer_video_id=7071986417076833563
“Anggota yang bertugas juga membuat penilaian dari setiap sudut keselamatan, pada masa yang sama konvoi berkenaan sudah melalui jalan utama yang berada 100 meter di hadapan lebih awal untuk ke lokasi.
“Sekiranya diberikan laluan hijau kepada ambulans yang datang dari susur jalan itu, ia akan memberi risiko yang besar kepada konvoi dan ambulans terbabit.
“Selepas konvoi itu berlepas, anggota yang bertugas memberi laluan hijau kepada ambulans untuk meneruskan perjalanan. Durasi video menunjukkan penahanan ambulans oleh anggota itu sangat minimum iaitu sekitar 30 saat,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Tambah beliau lagi, tindakan drastik dan strategik diambil anggota yang bertugas selepas membuat penilaian dari setiap sudut keselamatan kerana ia membabitkan beberapa faktor, antaranya jalan utama laluan konvoi adalah menurun bukit dan laluan ambulans adalah dari jalan susur.
“Malah konvoi itu melepasi laluan lebih awal dari ambulans dan penahanan ambulans berdurasi 30 saat sahaja adalah bagi mengelakkan risiko pertembungan antara konvoi dan ambulans berkenaan.
“Satu laporan polis dibuat berhubung kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan,” terang Asisten Komisioner Rupiah Abd Wahid.
Polis menasihatkan orang ramai agar tidak mengeluarkan komen dan maklumat yang tidak benar serta tidak bertanggungjawab melalui kaedah tular di media sosial bagi mengelakkan kegusaran dalam kalangan masyarakat, lapor Utusan Malaysia.
*Ikuti VOCKET CAR CLUB melalui Facebook dan Instagram untuk ketahui perkembangan dan isu semasa automotif dari dalam dan luar negara.
Sebelum ini pihak polis telah mengeluarkan satu kenyataan bagi menjelaskan kenapa ambulans perlu beri laluan kepada konvoi VIP. Baca lebih lanjut melalui pautan di bawah.
Ambulans Didakwa Terpaksa Berhenti, Pihak Polis Jelaskan Isu Beri Laluan Pada Konvoi VIP
Demi Lancarkan Laluan VIP, Ambulans Sekali Lagi Dilihat Terpaksa ‘Mengalah’ Bersama Pemandu Lain