Seramai 2228 anggota Polis dikerah untuk menjaga ketenteraman dan keselamatan ketika perlawanan akhir Piala FA 2024 melibatkan Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Selangor FC (SFC) di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 24 Ogos ini.
Dijangka lebih 60,000 penyokong akan hadir untuk menyaksikan perlawanan itu dan anggota Polis turut ditugaskan untuk memastikan kelancaran aliran trafik di sekitar venue pertandingan.

Baca Juga:
Perkembangan itu diiumumkan oleh Malaysian Football League (MFL) dalam satu kenyataan rasmi semalam.
Jumlah anggota polis kali ini meningkat berbanding 750 orang yang berjaga semasa saingan sengit antara JDT menentang Kuala Lumpur (KL) City FC di final Piala FA tahun lepas.
Presiden MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan turut melakukan kunjungan hormat ke atas Ketua Polis Kuala Lumpur, Dato’ Rusdi Mohd Isa di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur semalam.
Presiden Malaysian Football League (MFL), Dato’ Ab Ghani Hassan melakukan kunjungan hormat ke atas Ketua Polis Kuala Lumpur, Dato’ Rusdi Mohd Isa di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.
— Malaysian Football League (@MFL_MY) August 15, 2024
Kunjungan ini sebagai tanda penghargaan MFL kepada Polis Kuala Lumpur yang banyak membantu kelancaran perlawanan Liga Malaysia termasuk pengelolaan perlawanan-perlawanan akhir Piala Malaysia dan Piala FA sebelum ini di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
“Dato’ Rusdi memaklumkan bahawa Polis bersiap siaga bagi menghadapi perlawanan akhir itu apabila bakal menempatkan seramai 2228 anggota untuk menjaga ketenteraman dan keselamatan serta memastikan kelancaran aliran trafik di sekitar venue pertandingan.
“Dato’ Ab Ghani menyampaikan ucapan terima kasih kepada Dato’ Rusdi dan semua anggota polis yang terlibat di mana telah membuat persiapan awal bagi memastikan tahap keselamatan dan keselesaan mereka yang hadir ke stadium berada di tahap terbaik,” tulis kenyataan rasmi MFL.