Polis mengesan ada unsur kecuaian oleh pihak taska yang mengakibatkan bayi berusia 4 bulan meninggal dunia.

Dalam kejadian yang berlaku pada minggu lalu, bayi berusia 4 bulan meninggal dunia selepas dihantar ke sebuah taska di Bandar Saujana Putra, Kuala Langat.

Pihak taska dilaporkan membawa bayi ke klinik berdekatan dan bayi tersebut didapati ada kesan kebiruan di bahagian bibir dan kaki.

Polis segera menahan beberapa suspek yang kemudian disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi mengesahkan bahawa pihaknya masih menunggu keputusan analisis makmal berkaitan kes kematian bayi tersebut.

Dipetik daripada BH Online, Akmalrizal berkata: “Siasatan masih berjalan dan setakat ini terdapat unsur kecuaian atau pengabaian oleh pengasuh kerana meninggalkan mangsa dalam tempoh masa yang lama tanpa pemantauan.”

Polis kemudian mengesahkan bahawa terdapat 6 individu ditahan termasuk suspek yang merupakan pengasuh bayi itu.

“Susulan itu, polis sudah mengambil keterangan enam individu termasuk suspek (pengasuh),” katanya lagi dalam kenyataan yang dibuat pada hari yang sama.

Seterusnya, Akmalrizal memberitahu wartawan bahawa siasatan kes kini sudah dirujuk ke Bahagian D5 (Pendakwaan / Undang-Undang) Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.

Beliau juga mengesahkan bahawa siasatan mendapati taska tersebut beroperasi tanpa lesen yang sah. Mereka masih dalam proses permohonan lesen.