Kes juruterbang Malaysia yang didakwa cuba menyeludup dadah bernilai puluhan juta ringgit ke Indonesia kini memasuki fasa baharu apabila polis berjaya mengenal pasti seorang individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan tersebut.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, individu berkenaan dipercayai merupakan antara petugas yang terlibat dalam proses saringan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Namun tiada tangkapan dibuat setakat ini. Polis akan memanggil individu terbabit untuk dirakam keterangan dan tidak menolak kemungkinan tindakan lanjut termasuk tangkapan sekiranya terdapat bukti kukuh.
Siasatan mendapati juruterbang berusia 39 tahun itu dipercayai mendapatkan bekalan dadah dari sebuah apartmen di Ampang sebelum membawa masuk bagasi yang mengandungi dadah ke KLIA.
Modus operandi suspek dipercayai melibatkan tindakan mendaftar masuk bagasi berisi dadah, meninggalkannya di KLIA, sebelum melakukan penerbangan lain dan kembali mengambil bagasi tersebut untuk dibawa ke Jakarta.
Dipetik daripada sumber Berita Harian, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, berkata: “Buat masa ini, kita sudah mengenal pasti seorang individu berumur 30-an yang bertugas dalam bahagian saringan di pintu masuk.
“Dia akan dipanggil dalam masa terdekat untuk membantu siasatan dan jika ada keperluan, kita akan membuat tangkapan.
Menurut Hussein, prosedur pemeriksaan di KLIA membabitkan empat peringkat saringan ketat perlu dilalui. Apabila penumpang melepasi saringan automatik peringkat pertama, maka mereka tidak perlu pergi ke pemeriksaan kedua.
Dan suspek tersebut telah melepasi pemeriksaan yang dibuat.
Namun Hussein setuju bahawa prosedur pemeriksaan perlu dipertingkatkan lagi.
Sebelum ini, juruterbang berkenaan ditahan pihak berkuasa Indonesia selepas tiba di Terminal 3 Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta.
Pemeriksaan menemui kira-kira 25 kilogram dadah yang terdiri daripada pil ekstasi dan methamphetamine, dengan nilai anggaran mencecah sekitar RM45 juta mengikut harga pasaran Indonesia.
Menurut laporan awal, suspek mendakwa dirinya hanya bertindak sebagai keldai dadah dan dijanjikan bayaran oleh seorang dalang di Malaysia sebagai upah membawa barangan terlarang itu ke Indonesia.
Kini, polis Malaysia bersama pihak berkuasa Indonesia sedang meneruskan siasatan bagi membongkar rangkaian sindiket yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.
Kes ini turut mencetuskan persoalan mengenai kelemahan kawalan keselamatan di lapangan terbang, selepas wujud dakwaan kemungkinan ada pihak dalaman membantu melancarkan operasi penyeludupan tersebut.