Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang melakukan siasatan terhadap insiden membabitkan kumpulan nelayan Malaysia dan Coast Guard Singapura, yang berlaku di perairan Malaysia berhampiran sempadan Singapura, petang Sabtu lalu.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Asisten Komisioner Rahmat Ariffin, pihak polis telah maklum mengenai video tular media sosial yang berdurasi 2:02 minit dan 0:43 saat yang memaparkan insiden pertengkaran mulut membabitkan sekumpulan nelayan Malaysia dan Coast Guard Singapura yang berlaku di perairan Malaysia berhampiran sempadan Singapura.

Baca Juga:

Perkara itu turut mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad yang mana beliau menerima aduan nelayan berkenaan mendakwa mereka dihalau dengan kata-kata kesat menggunakan pembesar suara dari bot pihak berkuasa republik berkenaan kira-kira jam 5.30 petang Sabtu lalu.

@utusantvofficial

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, laporan polis sudah dilakukan oleh pihak terbabit dan tindakan susulan sedang diambil oleh pihaknya. #beritaditiktok #trendingnewsmalaysia #fyp #singapura

♬ original sound – UtusanTV – UtusanTV

Memetik laporan Harian Metro, ketika kejadian kira-kira 10 nelayan tempatan sedang memasang jaring udang yang ingin dilepaskan di kawasan Pasir Laba, berhampiran Jambatan Link Kedua (Second Link).

Bagaimanapun, datang sebuah bot pihak berkuasa Singapura didakwa menghalau kumpulan nelayan tempatan itu dengan kata-kata kesat kerana dikatakan menceroboh sempadan republik itu. Namun ketika kejadian, nelayan-nelayan itu masih lagi berada di perairan negara di Selat Johor.

“Kumpulan nelayan juga mempunyai bukti video yang mereka masih berada di kawasan sempadan negara selain turut merekodkan provokasi pihak berkuasa Singapura terhadap mereka.

“Satu laporan polis sudah dibuat kumpulan nelayan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri,” kata Datuk Pandak Ahmad.

Beliau turut berharap agar pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan hak nelayan yang mencari rezeki di kawasan perairan negara tidak dianiaya.

Ini kerana kejadian sama sudah beberapa kali berlaku namun nelayan hanya mengambil tindakan mendiamkan diri sebelum ini supaya ia tidak menjejaskan mereka.

Sementara kes masih lagi dalam siasatan, Asisten Komisioner Rahmat menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu ketenteraman awam.