Pada petang semalam pengunjung sebuah pusat beli-belah di Johor Bahru telah diminta mengosongkan gedung tersebut serta-merta.

Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya menerima panggilan pada 6.10 petang memaklumkan satu ancaman bom di pusat beli-belah terbabit.

Baca Juga:

“Pihak pengurusan memaklumkan mereka menerima panggilan itu pada 5.38 petang.

“Pemanggil mengaku dari luar negara dan mendakwa meletakkan bom di beberapa kawasan sekitar pusat beli belah dan hotel berkenaan. Lelaki sama turut beri amaran supaya jangan beri sokongan kepada Palestin,” katanya ketika sidang media di sekitar lokasi kejadian di sini, semalam.

Raub berkata, susulan panggilan, polis membuat pengesanan bom seperti yang didakwa.

“Sehingga jam 9 malam, polis mengesahkan kawasan tempat letak kereta pusat beli belah adalah selamat dan tidak menemui sebarang perkara seperti didakwa.

“Pada 9.15 malam, kita benarkan pemilik mengambil semula kenderaan mereka dan mengosongkan tempat letak kenderaan.

“Sepanjang insiden ini, anggaran 9,000 pengunjung dan pekerja berada di lokasi dengan 4,000 kenderaan serta 892 penghuni hotel yang menggunakan 463 bilik,” katanya

Menurutnya, setakat jam 11 malam, Unit Pemusnah Bom mengesahkan 90 peratus kerja pengesanan sudah selesai dilaksanakan.

“Kita masih menunggu laporan penuh daripada Unit Pemusnah Bom bersama Unit K9, selepas itu barulah kita buat keputusan berhubung pengoperasian bangunan itu,” katanya.

Seramai 12 pegawai kanan dan 60 pegawai rendah polis ditugaskan di lokasi kejadian selain dibantu dua Unit K9 polis, 24 pegawai serta anggota bomba bersama tiga jentera dan unit pemusnah bom dengan tiga pegawai serta 12 anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dalam operasi tersebut.

Tambahnya, pihak polis sedang giat menjalankan siasatan bagi mengesan identiti pemanggil yang membuat ancaman bom tersebut serta mengesan lokasi panggilan itu dibuat.