Polis sedang menyiasat kejadian dua kanak-kanak yang dikesan duduk di atas sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah semasa kenderaan tersebut sedang bergerak.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah mengesahkan bahawa pihak polis belum menerima sebarang laporan rasmi berhubung insiden berkenaan setakat ini, petik Astro Awani.
Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa pihak polis kini sedang aktif mengesan pemilik MPV terbabit bagi membantu siasatan.
View on Threads
“Kita akan kenal pasti. Kalau betul kanak-kanak, kita akan siasat di bawah Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.
Terdahulu, satu rakaman video tular di platform media sosial memaparkan dua kanak-kanak perempuan berada di bahagian luar bumbung sebuah MPV mewah jenis Toyota Alphard. Kanak-kanak berkenaan dipercayai keluar menerusi bumbung tembus cahaya (sunroof) ketika kenderaan itu dipandu di jalan raya.
Berdasarkan maklumat awal dan dirakam oleh pengguna jalan raya lain, kejadian tersebut dipercayai berlaku bermula dari susur keluar Meru menuju ke Jalan Jelapang-Simpang Pulai, berhampiran Lebuhraya Utara-Selatan.