Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan menyatakan pihaknya sedang menyiasat kematian empat individu selepas menghadiri konsert ambang tahun baharu di Bandar Sunway, semalam.

Menurutnya, empat laporan polis telah diterima daripada Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) berkaitan kematian dua lelaki dan dua wanita berkenaan.

Baca Juga:

“Hasil siasatan awal mendapati keempat-empat individu menghadiri konsert di Bandar Sunway.

“Bedah siasat selesai dijalankan dan punca kematian masih menunggu siasatan makmal,” katanya dalam satu kenyataan, petik Harian Metro.

Datuk Hussein Omar menyatakan  pemeriksaan ke atas semua individu berkenaan tidak menemui sebarang kecederaan luaran.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). Siasatan lanjut masih diteruskan untuk mengenal pasti sama ada terdapat unsur jenayah atau unsur keracunan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kenadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Sarjan Mohd Ridzal Puat di talian 03-56382122 atau mana-mana balai berhampiran.

Sumber