Polis telah membuka siasatan berhubung satu video tular yang memaparkan sebuah trak pikap berwarna perak di jalan raya di Melaka dengan pelekat bertulisan Bahasa Israel (Ibrani).

Ketua Polis Melaka, Zulkhairi Mukhtar berkata, seorang lelaki yang bertugas sebagai pegawai khas kepada Ketua Menteri telah membuat laporan polis selepas menemui video berdurasi 14 saat itu di platform media sosial Threads, lapor Free Malaysia Today.

Baca Juga:

“Hasil siasatan polis mendapati tulisan tersebut membawa maksud ‘Malaysia adalah rumah kami’ atau ‘Malaysia di tangan kami’,” katanya dalam satu kenyataan.

Hasil semakan lanjut mendapati kenderaan tersebut didaftarkan atas nama seorang lelaki beralamat di Gemencheh, Negeri Sembilan.

Zulkhairi berkata, kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atas kesalahan penyalahgunaan kemudahan rangkaian.

“Kami menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan berkaitan video tersebut, kerana siasatan telus akan dijalankan bagi memastikan keselamatan dan keharmonian masyarakat,” katanya.

Kemas Kini 11.20 pagi, 8 Oktober 2025

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar, berkata siasatan sedang dijalankan dan pemandu kenderaan itu sudah dikenal pasti sebagai warga tempatan.

“Kita sudah kenal pasti individu terbabit namun tangkapan belum dilakukan.

“Individu terbabit juga adalah warga tempatan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.