Polis mengesahkan penahanan dua pemandu kereta mewah yang bertindak sebagai pengiring (marshall) tidak sah selepas video aksi mereka menahan kenderaan awam tular di media sosial baru-baru ini.
Menurut kenyataan media Timbalan Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Supt Saifullah Bin Jaya @ Yahaya, kejadian dikesan melalui satu muatan video di platform ‘Threads’ pada 14 Ogos 2026 jam lebih kurang 6:16 petang.
Video berkenaan memaparkan tindakan dua individu terbabit menyekat laluan pengguna jalan raya lain di Bulatan Lebuh Kota Iskandar bagi memberikan jalan kepada sebuah konvoi supercar.
View on Threads
Hasil Risikan dan Penahanan
Bertindak atas aduan awam, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Iskandar Puteri telah menjalankan operasi khas bagi mengesan individu terbabit.
“Hasil risikan mendapati konvoi supercar berkenaan sedang dalam perjalanan dari arah Puteri Harbour menghala ke Pusat Bandar Johor Bahru sebelum dua pemandu berkenaan bertindak menghentikan kenderaan awam di lokasi kejadian.
“Pada 15 Ogos 2026, pihak polis berjaya menahan kedua-dua pemandu berserta kereta yang terlibat untuk tindakan lanjut,” katanya.
Tindakan Undang-Undang dan Saman
Kes disiasat di bawah Seksyen 110 Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan penalti kerana galangan dan gangguan.
Jika disabitkan kesalahan, pelaku boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1,000.
Sebanyak empat (4) keping saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan ketidakpatuhan spesifikasi kenderaan, manakala kenderaan yang terlibat turut disita oleh pihak polis.
Peringatan Tegas PDRM
Timbalan Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri menegaskan bahawa pihak polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang bertindak sebagai pengiring konvoi secara tidak sah.
Tindakan menghalang lalu lintas atau memberhentikan kenderaan awam secara melulu bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.