Pada hujung minggu lalu Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) meluahkan rasa kesal apabila satu kes buli di sekolah berasrama itu ditularkan di pelbagai platform media sosial.
Sehubungan dengan itu PIBG MCKK dan beberapa ahli keluarga pelajar bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap tiga pemilik akaun media sosial.
Baca Juga:
- Beri Imej Buruk Kepada Sekolah, PIBG MCKK Kesal Insiden Buli Ditularkan
- Alat Sulit Tercedera Semasa Dipukul Senior, Polis Sahkan Kes Buli Di Sekolah Berasrama Kuala Kangsar
Peguam mewakili PIBG dan ahli keluarga, Hasshahari Johari Mawi berkata, insiden yang ditularkan minggu lalu menjadi tidak terkawal, menyebabkan pihak PIBG tampil membuat laporan polis, hari ini.
Tambah beliau, tujuan laporan polis itu dibuat susulan reaksi, ugutan dan ancaman yang diterima pelajar, ibu bapa dan guru MCKK, yang mana dengan laporan polis berkenaan diharapkan orang ramai berhenti mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah.
“Selanjutnya, saya diarahkan anak guam untuk meneruskan tindakan undang-undang ke atas individu pengguna media sosial yang sudah dikenal pasti kerana memuat naik hantaran berunsur fitnah dan tidak benar.
“Kita juga menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas wakil PIBG membuat laporan polis di Balai Polis Travers, di sini.
Dalam pada itu, pihak polis sudah melengkapkan siasatan berkaitan kes tersebut dan diserahkan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya baru-baru ini.
“Kita juga sedang menunggu arahan selanjutnya daripada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya,” kata Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri ketika dihubungi Berita Harian.