Populasi kelahiran bagi setiap wanita di Malaysia pada tahun 2022 telah menurun kepada 1.6 iaitu jauh di bawah paras penggantian iaitu 2.1 menurut Public Health Malaysia.
Difahamkan jumlah tersebut jauh berbeza berbanding pada tahun 1980 iaitu 4.9 anak per wanita. Agak mengejutkan lagi, negeri seperti Pulau Pinang dan Kuala Lumpur menunjukkan kadar kesuburan yang sangat rendah pada tahun 2022.
Jika perkara ini berlarutan, ia akan mendorong kepada penurunan populasi dan beri tekanan terhadap sistem sokongan sosial.
Berita yang membimbangkan ini bagaimana menerima respons yang agak unik daripada pengguna media sosial di Facebook.
Selain masalah kos sara hidup yang tinggi, orang ramai berpendapat lebih baik mempunyai jumlah anak yang sedikit tetapi berkualiti berbanding mempunyai kuantiti yang banyak namun menyusahkan di kemudian hari.
Bagi netizen yang berpendapat sedemikian, mereka lebih mengutamakan untuk memenuhi keperluan dan memberi keselesaan kepada anak-anak dengan selengkapnya.
Kita pun sedia maklum kos menjaga anak sememangnya mahal dan mencecah ratusan ribu dalam jangka masa panjang. Ini termasuklah menyediakan tempat tinggal, pemakanan, pembelajaran, pakaian, kesihatan dan sebagainya.
Tambah mereka lagi, sudah banyak kes di mana keluarga yang mempunyai anak yang ramai namun terabai begitu sahaja dan perlu mengharapkan bantuan untuk sara hidup.
Walaupun ada yang beranggapan anak sebagai satu rezeki, ia tidak bermaksud apa-apa jika tidak dijaga dengan baik dari segi didikan rohani dan jasmani seperti yang diajar dalam agama.
Susulan itu, ramai memilih untuk merancang saiz keluarga yang bersesuaian dengan tingkat gaji masing-masing supaya boleh memberikan yang terbaik buat anak-anak mereka.