Pemain Muangthong United, Poramet Arjvirai bakal berkelana ke Jepun untuk menyarung jersi kelab JLeague 2, Jubilo Iwata secara pinjaman.
Perkembangan terkini itu disahkan laman Facebook Muangthong United yang turut mendedahkan Poramet dipinjamkan selama 11 bulan dengan pilihan lanjutan.
Baca Juga:
- Dominic Tan Dan Stuart Wilkin Bakal Beraksi Di Liga Thailand?
- Vietnam Hampakan Thailand Untuk Muncul Juara Piala ASEAN 2024
- Newin Chidchob: Buriram United Lebih Hebat Daripada JDT, Standard Liga Malaysia Tidak Setaraf Liga Thailand
Mula membuat penampilan bersama skuad senior Muangthong United pada 2017, Poramet telah beraksi sebanyak 166 perlawanan dalam semua pertandingan disertai kelab tersebut.

Sepanjang tempoh tersebut, pemain berusia 26 tahun itu berjaya menghasilkan 45 gol dan mencipta 25 bantuan jaringan.
Musim lalu merupakan kempen cemerlang buat beliau apabila meledakkan 18 jaringan dan mencipta enam bantuan gol.
Malah, Poramet menjadi pemusnah buat Selangor dalam saingan AFC Champions League (ACL) 2 apabila jaringannya pada minit ke-76 ketika beraksi di Kelana Jaya menghadiahkan kemenangan 2-1 buat Muangthong United.
Manakala bersama skuad kebangsaan Thailand pula, Poramet telah membuat 16 penampilan dan menjaringkan dua gol dimana salah satunya terhasil ketika final pertama Piala AFF 2022 bertemu Vietnam.

Difahamkan Poramet Arjvirai akan terbang ke Jepun pada pertengahan Jun nanti sebaik sahaja tamat tugasan bersama skuad kebangsaan Thailand.
Poramet Arjvirai Sertai Senarai Pemain Thailand Ke Liga Jepun
Poramet menjadi pemain keenam dari Thailand yang menyertai kelab Jepun selepas Chanathip Songkrasin (Hokkaido Consadole Sapporo & Kawasaki Frontale), Teerasil Dangda (Sanfrecce Hiroshima & Shimizu S-Pulse), Theerathon Bunmathan (Vissel Kobe & Yokohama F. Marinos), Ekanit Panya (Urawa Red Diamonds & Ehime) dan terbaharu, Jaroensak Wonggorn yang dipinjamkan ke Cerezo Osaka dari 5 Januari hingga Jun 2025.