Porsche telah bersetuju untuk menjual pegangan ekuiti miliknya dalam Bugatti Rimac dan Rimac Group kepada sebuah konsortium yang diketuai oleh HOF Capital, sebuah firma pelaburan yang berpangkalan di New York.
Perjanjian transaksi yang berkaitan telah ditandatangani pada 24 April.
Penyelesaian transaksi ini masih tertakluk kepada syarat-syarat lazim, termasuk kelulusan kawal selia oleh pihak berkuasa yang berkaitan, petik kenyataan rasmi Bugatti.
Porsche dan Rimac Group menubuhkan Bugatti Rimac sebagai usaha sama pada tahun 2021 untuk menjadi ‘rumah’ bagi jenama ikonik Bugatti.
Dalam usaha sama ini, Porsche memegang pegangan minoriti sebanyak 45%, manakala Rimac Group memiliki 55%.
Porsche juga memegang 20.6% kepentingan dalam Rimac Group.
Sebagai sebahagian daripada transaksi yang diumumkan hari ini, Porsche akan melupuskan sepenuhnya pegangan ekuitinya dalam Bugatti Rimac dan Rimac Group kepada konsortium pimpinan HOF Capital tersebut.
Ini termasuk BlueFive Capital sebagai pelabur terbesarnya, serta sekumpulan pelabur institusi dari seluruh AS dan EU.
Setelah selesai, Rimac Group bakal mengambil alih kawalan Bugatti Rimac dan membentuk perkongsian strategik dengan HOF Capital serta BlueFive Capital untuk menyokong pertumbuhannya yang berterusan.
HOF Capital juga akan menyertai Rimac Group sebagai pemegang saham terbesar bersama Mate Rimac, pengasas Rimac dan CEO Bugatti Rimac.
Tertakluk kepada kelulusan kawal selia, penyelesaian transaksi dijangka berlaku sebelum penghujung tahun 2026.
Pihak-pihak yang terlibat telah bersetuju untuk merahsiakan syarat kewangan transaksi tersebut, kecuali jika pendedahan diperlukan di bawah obligasi pelaporan kewangan yang tertakluk.
Dr. Michael Leiters, CEO Porsche AG:
“Melalui penubuhan usaha sama Bugatti Rimac bersama Rimac Group, kami telah berjaya meletakkan asas bagi masa depan Bugatti. Sebagai pelabur peringkat awal Rimac Group, Porsche telah memberikan sumbangan besar dalam membangunkan Rimac Technology menjadi sebuah syarikat teknologi automotif Tahap-1 (Tier-1) yang mapan.
“Kini, dengan penjualan pegangan kami, kami menunjukkan bahawa kami akan memfokuskan Porsche kepada perniagaan terasnya. Kami ingin berterima kasih kepada Mate Rimac dan pasukannya atas kerjasama yang membina dan penuh kepercayaan sepanjang tahun-tahun yang lalu.”
Mate Rimac, CEO Bugatti Rimac:
“Porsche telah menjadi rakan kongsi yang sangat penting, dan kami amat berterima kasih atas peranan mereka dalam menubuhkan Bugatti Rimac.
“Dengan asas kukuh yang disediakan oleh sokongan mereka, kami kini mempunyai struktur yang membolehkan kami melaksanakan visi jangka panjang kami dengan lebih pantas. Kami menantikan kerjasama dengan rakan kongsi baharu kami.”
Hisham Elhaddad, Pengasas Bersama dan Rakan Pengurusan HOF Capital:
“Selama lebih satu abad, Bugatti telah berdiri teguh sebagai jenama di mana warisan dan inovasi wujud bersama pada tahap tertinggi. Kami berbangga dapat bekerjasama dengan Mate Rimac dan pasukannya untuk membantu mencorak lembaran seterusnya, mengimbangi pertumbuhan yang berdisiplin dengan tradisi pertukangan dan keaslian yang kekal tiada tandingan.”
Hazem Ben-Gacem, Pengasas dan Ketua Eksekutif BlueFive Capital:
“Bugatti adalah sebuah monumen kepada obsesi automotif, yang lahir daripada usaha Ettore Bugatti untuk menggabungkan keindahan dan prestasi.
“BlueFive Capital melihat peluang ini lebih daripada sekadar transaksi kewangan, dan kami tidak sabar untuk bekerjasama dengan seluruh pasukan Bugatti Rimac bagi menghormati legasi tersebut untuk generasi akan datang.”