Tindakan nekad seorang lelaki memandu sebuah kereta mewah jenis Porsche Taycan secara melawan arus di kilometer 6.5, Jalan Ismail Sultan, membawa padah apabila dia ditahan pihak polis selepas rakaman video kejadian berkenaan tular di media sosial.
Rakaman video berdurasi 12 saat itu memaparkan kenderaan berwarna putih berkenaan dipandu secara berbahaya dan melawan arus bagi mengelak sekatan jalan raya (SJR) yang sedang dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Iskandar Puteri.
Dalam satu kenyataan media, Pemangku Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Supt Saifullah bin Jaya@Yahaya mengesahkan bahawa pemandu kenderaan berkenaan, seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun, telah tampil menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri pada hari yang sama.
“Ujian saringan air kencing turut dijalankan dan keputusannya adalah negatif,” katanya dalam satu kenyataan media.
Beliau menambah, kes kini disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.
Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara maksimum sehingga lima tahun dan denda antara RM5,000.00 hingga RM15,000.00. Selain itu, lesen memandu pesalah juga boleh digantung untuk tempoh sekurang-kurangnya lima tahun.
Pihak polis menegaskan bahawa tiada kompromi akan diberikan kepada mana-mana individu yang memandu secara berbahaya dan melulu sehingga mengancam keselamatan diri serta pengguna jalan raya yang lain.