Semangat berkongsi rezeki kini kembali menyapa. Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) secara rasminya telah melancarkan Kempen Ramadan 1447H/2026M hari ini.

Majlis yang berlangsung dalam suasana santai di Restoran Chef Kecik Boulangeries, Bukit Bintang ini menjadi simbolik kepada usaha berterusan agensi tersebut dalam memudahkan masyarakat menunaikan kewajipan berzakat.

PPZ-MAIWP Lancar Kempen Ramadan 'Ikhlas Memberi, Tulus Membantu'
Photo by Rauf Alvi on Unsplash

Dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Datuk Haji Abdul Hakim Amir Osman, kempen kali ini membawa tema yang cukup mendalam iaitu “Ikhlas Memberi, Tulus Membantu”.

Tema ini bukan sekadar slogan, malah merupakan satu seruan untuk menanam nilai keikhlasan dalam setiap sumbangan agar manfaatnya dapat dirasai secara berpanjangan oleh golongan asnaf yang memerlukan.

Kolaborasi Strategik: Bayar Zakat & Nikmati Ganjaran

Apa yang menarik perhatian pada tahun ini adalah kolaborasi erat antara PPZ-MAIWP bersama Ikhlas.Com & Friends.

Melalui kerjasama ini, pembayar zakat harta di PPZ-MAIWP bukan sahaja dapat menyucikan harta, malah berpeluang membawa pulang baucar diskaun eksklusif daripada jenama-jenama popular seperti Nunha & Airali, Petit Moi & Maison Toha, BMO & Zora Designer

Selain itu, rakan kolaborasi lain seperti Iman Pro, Beauboss, Khatam, dan Chef Kecik turut menyemarakkan kempen dengan pelbagai hadiah serta tawaran istimewa yang disediakan khusus buat para pembayar zakat.

Pengisian Rohani & Aktiviti Sepanjang Ramadan

Sepanjang tempoh kempen yang bermula dari 19 Februari hingga 20 Mac 2026, PPZ-MAIWP telah menyusun pelbagai pengisian menarik yang dirancang khusus untuk mendekatkan masyarakat dengan ilmu zakat secara lebih santai.

Antaranya termasuklah penganjuran Podcast dan Sesi Live yang menampilkan barisan pempengaruh serta panel jemputan pelbagai latar belakang bagi mengupas isu-isu zakat secara interaktif.

Selain itu, bagi golongan wanita, program Sis on the Move menawarkan pengalaman unik melalui sesi usrah dan iftar eksklusif bersama selebriti serta pengasas jenama tempatan yang pastinya memberi inspirasi buat para peserta.

Semangat kempen ini turut dibawa ke lapangan menerusi Ramadan Tour, sebuah siri jelajah ke lokasi-lokasi tumpuan di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya, termasuk kunjungan ke syarikat-syarikat korporat bagi memberi pencerahan lebih mendalam mengenai kewajipan berzakat.

Tidak dilupakan, aspek kebajikan tetap diutamakan melalui Program Turun Padang dengan kerjasama Ikhlas.Com.

Inisiatif ini bertujuan untuk menyantuni golongan asnaf secara langsung di sekitar Wilayah Persekutuan, sekali gus menterjemahkan matlamat kempen dalam menyebarkan manfaat zakat kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

Melalui kempen ini, PPZ-MAIWP berharap agar lebih ramai umat Islam mengambil peluang di bulan yang penuh keberkatan ini untuk menyempurnakan rukun Islam keempat melalui saluran bayaran yang disediakan dengan lebih mudah dan pantas.