Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, menyatakan bahawa Indonesia bakal menjadi negara keempat terkaya di dunia. Walau bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa terdapat syarat tertentu untuk mencapai matlamat tersebut.

Perkara itu disampaikan oleh Prabowo ketika menghadiri sambutan Krismas Peringkat Kebangsaan 2025 di Tennis Indoor Senayan, Jakarta, pada malam Isnin menerusi laporan Kompas.

“Seperti yang saya katakan tadi, pakar-pakar geopolitik meramalkan Indonesia akan menjadi negara keempat terkaya di dunia. Tetapi ada syaratnya.

“Apakah syarat itu? Syaratnya adalah rakyat Indonesia mestilah bersatu padu. Dan yang paling utama ialah pemimpin dan golongan elitnya perlu bekerjasama,” kata Prabowo.

Prabowo menyatakan bahawa beliau sentiasa mahu mengajak semua pihak untuk bersatu, walaupun mereka pernah melakukan kesilapan pada masa lalu.

“Saya semakin yakin, saya tetap mahu mengajak semua orang tanpa mengira perbezaan atau kesalahan kita yang lalu. Sebagai manusia, kita tidak lari daripada dosa dan silap,” katanya.

Oleh itu, Prabowo mengajak semua pihak untuk bekerjasama dengan erat dan saling membantu. Menurutnya, mereka yang kuat perlu membantu golongan yang lemah, manakala yang lemah pula perlu bersatu hati dan bekerjasama.

“Bersaing itu bagus, tapi sebaik sahaja pertandingan tamat, kita mesti bersatu semula. Bersatu hati. Ada yang kata kalau kita bersatu, itu maksudnya tidak demokratik. Eh, kenapa pula? Demokrasi tetap ada.

“Nak tegur, silakan. Nak kritik pun bagus. Tapi memfitnah itu yang tidak baik. Semua agama melarang perbuatan fitnah. Saya yakin dalam agama Kristian pun begitu juga,” tambah Prabowo.