Presiden Prabowo Subianto mendedahkan bahawa wujud pihak-pihak luar yang tidak senang melihat Indonesia menjadi sebuah negara yang kuat.

Perkara itu disampaikan Prabowo ketika beliau menegaskan bahawa Indonesia berkeupayaan menangani bencana di Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat.

“Ada kecenderungan segelintir masyarakat, terutamanya mungkin yang mempunyai motivasi politik atau bahkan, secara terus terang saya melihat ada kemungkinan pihak-pihak kekuatan luar yang sejak dahulu lagi saya tidak fahami, yang tidak suka kepada Indonesia, tidak suka Indonesia menjadi kuat,” kata Prabowo dalam sidang kabinet paripurna.

Beliau menegaskan bahawa Indonesia merupakan sebuah negara yang kuat dalam pengurusan bencana di Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat. Hal ini dibuktikan melalui respons pantas kerajaan dalam usaha menangani serta membantu mangsa bencana di tiga wilayah tersebut.

Oleh sebab itu Prabowo menolak bantuan daripada negara negara luar terutama sekali daripada jiran jirannya.

Beliau seterusnya menambah: “Puluhan ribu anggota telah dikerahkan dalam saat-saat awal (bencana) ke kawasan berkenaan. Kita dapat melihat buktinya.

“Saya lihat sekarang ini mungkin ada pihak yang berasa bimbang kerana rakyat baru sekarang melihat bahawa kerajaan Indonesia ini ternyata kuat,” ujar Prabowo dalam sidang media yang sama.

Dalam kesempatan itu, Prabowo turut menceritakan bahawa beliau menerima banyak panggilan telefon daripada ketua-ketua negara yang ingin menghantar bantuan ke Sumatera. Namun, Prabowo menyampaikan penghargaan dan memaklumkan kepada mereka bahawa Indonesia mampu mengendalikan bencana di Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat.

“Saya menerima panggilan daripada ramai pemimpin, ketua negara yang ingin menghantar bantuan. Saya katakan, ‘Terima kasih atas keprihatinan anda, kami mampu.’ Indonesia mampu mengatasi perkara ini,” kata Prabowo.

Prabowo juga menyampaikan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada kerajaan pusat, kerajaan daerah, agensi berkaitan serta para sukarelawan yang terlibat dalam usaha menangani bencana di Sumatera.

“Terima kasih, jadi saya bersyukur kerana saya mempunyai saudara-saudara yang telah bekerja keras. Maka rakyat mengucapkan terima kasih kepada saya, tetapi saya anggap ucapan terima kasih itu bukan kepada saya seorang, sebaliknya kepada kita semua, seluruh pasukan kita,” ujar Prabowo.