Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, telah mengarahkan pembaikan menyeluruh terhadap buku teks sekolah bermula dari peringkat sekolah rendah hingga sekolah menengah.

Langkah berani ini diambil bagi memastikan kualiti pendidikan negara itu dapat ditingkatkan, dengan membandingkan kualiti bahan pembelajaran tempatan bersama buku teks yang digunakan di negara-negara jiran.

Bagi menggalas tanggungjawab berkenaan, Menteri Setiausaha Negara, Prasetyo Hadi, bersama Setiausaha Kabinet, Teddy Indra Wijaya, telah ditugaskan untuk mengetuai proses perbandingan tersebut.

Pentadbiran kerajaan berhasrat untuk melakukan penambahbaikan secara serentak, merangkumi isi kandungan pelajaran serta kualiti fizikal buku teks itu sendiri.

Menurut Prasetyo Hadi, kerajaan telah pun mendapatkan sampel buku teks dari pelbagai negara Asia Tenggara seperti Thailand, Malaysia, Brunei Darussalam, Timor-Leste, Kemboja, dan Vietnam atas arahan khas daripada Teddy bagi tujuan penilaian.

“Poin utamanya ialah kita mahu meningkatkan kualiti buku teks untuk semua murid dan pelajar kita, daripada sekolah rendah, sekolah menengah rendah, sehinggalah sekolah menengah atas,” kata Prasetyo semasa ditemui di Istana Presiden, Jakarta.

Bagi memastikan penilaian dibuat secara menyeluruh, satu pasukan khas merentas kementerian telah dibentuk.

Pasukan ini melibatkan kerjasama daripada Kementerian Pendidikan Tinggi, Sains dan Teknologi, Kementerian Pendidikan Rendah dan Menengah, serta Badan Perancangan Pembangunan Nasional (Bappenas) untuk menilai dan memberi cadangan penambahbaikan.

Setiausaha Kabinet, Teddy Indra Wijaya, pula menjelaskan bahawa Presiden Prabowo telah mengenalpasti beberapa subjek utama yang memerlukan pengukuhan bahan pelajaran.

Subjek-subjek berkenaan merangkumi identiti kebangsaan dan nasionalisme, sains dan teknologi, matematik, serta penguasaan bahasa asing.

Kesedaran Presiden Prabowo terhadap isu ini sebenarnya berpunca daripada pengalaman beliau sendiri semasa melawat beberapa buah sekolah, di mana beliau turun padang memeriksa buku-buku yang digunakan oleh para pelajar.

“Semasa memeriksa buku teks tersebut, beliau melihatnya satu demi satu. Beliau mendapati ada buku yang dibuat daripada bahan yang mudah rosak, manakala ada yang memang sudah sedia rosak.

Tulisan di dalamnya juga sangat kecil sehingga murid sekolah rendah terpaksa membaca dari jarak yang sangat dekat,” kongsi Teddy.

Keadaan sedemikian telah mendorong Presiden mengarahkan semakan semula secara rasmi di seluruh Indonesia.

Selain menekankan reka bentuk yang lebih menarik, saiz tulisan yang lebih besar, serta bahan cetakan yang lebih kukuh, kerajaan turut merancang untuk membawa buku teks ini ke era digital.

Buku teks yang telah ditambah baik ini bakal diakses menerusi skrin pintar atau panel interaktif yang kini sedang diedarkan secara berperingkat ke sekolah-sekolah di seluruh negara.

Sumber