Profesor pelawat universiti merujuk kepada ahli akademik sesebuah institusi yang dilantik oleh universiti-universiti lain untuk berkhidmat di universiti jemputan itu untuk satu tempoh waktu yang tertentu.

Biasanya profesor pelawat dijemput untuk mengajar atau memberi ceramah dalam bidang kepakarannya bagi meningkatkan lagi kualiti dan prestij universiti yang membuat jemputan tersebut.

Fungsi profesor pelawat adalah untuk berkongsikan bidang kepakaran dan pengalamannya dengan ahli-ahli akademik dan pelajar-pelajar di universiti yang mengundangnya serta untuk membuat kolaborasi/kerjasama penyelidikan bagi meningkatkan prestij dan kedudukan universiti yang mengundangnya.

Memandangkan sudah buka cerita tentang profesor pelawat, saya ingin mengetengahkan seorang pemuda Malaysia yang telah dijemput sebagai profesor pelawat oleh Fakulti Undang-undang, Far Eastern Federal University (FEFU), Vladivostok, Rusia.

Beliau ialah Dr. Mohd Hazmi bin Mohd Rusli, pensyarah kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, ikuti temubual saya dengannya di bawah ini.

Profesor Pelawat Di Vladivostok

Gambar 3

Vocket (V): Apakah bidang kepakaran dan fungsi anda sebagai seorang profesor pelawat di sana?

Memandangkan bidang kepakaran saya adalah undang-undang laut antarabangsa, saya telah diundang untuk memberikan ceramah mengenai undang-undang hak navigasi kapal-kapal di selat-selat utama seperti Selat Melaka dan laluan artik Rusia serta tuntutan bertindih di Laut China Selatan.

Saya juga telah diminta untuk berkongsi pengalaman saya menjelajah beberapa negara sebagai pembicara di persidangan-persidangan antarabangsa seperti di Amerika Syarikat, United Kingdom, Indonesia, Filipina, Timor-Leste, Australia dan sebagainya.

Fungsi seorang profesor pelawat juga adalah untuk menjalankan kolaborasi penyelidikan untuk menghasilkan artikel-artikel untuk jurnal berimpak tinggi – ini bagi meningkatkan kualiti dan posisi universiti berkenaan dalam bidang penyelidikan.

Selain itu, sebagai profesor pelawat, saya mengambil inisiatif sendiri bagi memperkenalkan Malaysia dan undang-undang Malaysia yang sememangnya asing untuk para pelajar di universiti ini – mungkin kerana tidak banyak orang Malaysia yang berkunjung ke kota timur jauh Rusia ini berbanding kota-kota lain dunia seperti Sydney, London, Paris dan sebagainya.

V: Bagaimana anda boleh dijemput sebagai seorang profesor pelawat?

Pada tahun 2014, saya berkenalan dengan Timbalan Dekan Fakulti Undang-undang, FEFU, Associate Professor Dr. Roman Dremliuga sewaktu program undang-undang antarabangsa di Shanghai Jiao Tong University, China.

Beliau mengundang saya untuk menjadi profesor pelawat di FEFU dan meminta saya untuk mengirimkan CV kepadanya. Pada bulan Oktober 2014, saya telah diterima sebagai profesor pelawat dan diundang lagi pada tahun 2015 dan 2017.

Seseorang itu dipilih sebagai profesor pelawat menerusi:

a. Penerbitan akademiknya – seseorang ahli akademik itu akan dipilih sebagai profesor pelawat hanya apabila beliau mempunyai koleksi artikel-artikel yang diterbitkan di jurnal-jurnal berimpak tinggi;

b. Track record yang baik untuk penyelidikannya;

c. Pernah diundang untuk memberi ucaptama atau ceramah di persidangan-persidangan berprestij di dalam dan luar negara – seperti di sini.

d. Seringkali profesor pelawat terdiri daripada profesor-profesor yang telah lama berkhidmat dan sudah berumur (45 dan ke atas).

Tapi uniknya bagi kes saya ini, saya masih berumur 34, masih lagi memegang jawatan sebagai pensyarah kanan (bukan Profesor) di USIM, akan tetapi tetap diangkat sebagai profesor pelawat di FEFU – sesuatu yang luar dari kebiasaan. Ini beerti ukuran umur tidak penting – yang mustahak adalah pencapaian seseorang ahli akademik tersebut.

V: Adakah ini undangan pertama kali anda sebagai profesor pelawat?

Kampus FEFU

Ini adalah undangan ketiga saya sebagai profesor pelawat – yang pertama kali adalah pada tahun 2014, yang kedua adalah pada tahun 2015, dan ini ialah kali yang ketiga.

Untuk ketiga-ketiga undangan ini, Kerajaan Rusia menerusi Kementerian Pendidikan dan Sains Rusia yang membiayai kesemua kos pemergian saya ke sana. Mereka memberikan saya penginapan di hotel yang terletak betul-betul di dalam kampus FEFU dan hanya 5 minit berjalan kaki ke Fakulti Undang-undang.

FEFU mempunyai kampus terbaik di seluruh Rusia dan pernah menjadi venue APEC 2012 dan sehingga kini, Vladimir Putin, Presiden Rusia akan menginap di hotel kampus FEFU setiap kali ada kunjungan ke Rusia Timur Jauh.

Walaupun kunjungan saya ke FEFU untuk tiga tahun ini – 2014, 2015, 2017 adalah singkat, tapi saya dapat rasakan pengalaman yang berbeza mengajar di sebuah negara yang suatu masa dahulu (dan sehingga kini) adalah antara negara yang paling berpengaruh di dunia.

Pelajar-pelajar di FEFU sangat menghormati saya sebagai profesor pelawat dan menunjukkan minat terhadap kuliah-kuliah saya. Saya juga dapat mempelajari budaya Rusia serta berkongsi budaya Melayu dan budaya Malaysia kepada masyarakat kampus di sini.

V: Kongsikan dengan kami pengalaman yang diperolehi semasa menjadi profesor pelawat.

Pemandangan Kota Vladivostok

Banyak pengalaman yang saya timba sewaktu di sana. Istilah “knowledge is power” adalah istilah yang sering digunapakai untuk menunjukkan betapa pentingnya ilmu.

Sewaktu saya belajar di Australia dulu, guru saya adalah orang berkulit putih. Sebagai sebuah negara yang pernah dijajah bangsa berkulit putih, secara mental mungkin kebanyakan dari kita masih rasakan bahawa orang berkulit putih itu adalah lebih superior dari kita.

Tapi berkat dari ilmu yang saya peroleh belajar di peringkat ijazah di UIAM dan PhD di Australia, saya mampu untuk menunjukkan bahawa tidak mustahil kita juga mampu untuk menjadi guru kepada pelajar-pelajar kulit putih.

Pengalaman ini mengajar saya bahawa Allah SWT mencipta manusia itu sama cuma perbezaannya adalah keimanan dan sejauh mana manusia itu mahu berusaha untuk mengubah nasib dirinya dan bangsanya.

Pengalaman manis yang saya alami sendiri adalah apabila Dekan Fakulti Undang-undang di FEFU mengiktiraf yang saya adalah antara profesor pelawat termuda yang diundang ke FEFU dan satu-satunya dari Asia Tenggara – Fakulti Undang-undang FEFU ada mengundang ahli-ahli akademik lain di serata dunia juga sebagai profesor pelawat seperti dari Jepun, Korea Selatan, Amerika Syarikat dan Mexico.

Saya juga telah diperkenalkan dengan makanan Rusia dan Uzbekistan yang rata-ratanya lazat-lazat belaka. Kota Vladivotok, kota terbesar di Rusia Timur Jauh juga sempat saya kunjungi – sebuah kota yang amat menawan dan kaya dengan sejarah Rusia dan Soviet Union yang diliputi salju memutih terutamanya di bulan Disember dan Januari.

Gambar 6
Tarian Krishna oleh gadis-gadis Rusia

Saya juga sempat berkenalan dengan beberapa pelajar Malaysia (6 orang) dan Indonesia (5 orang) yang belajar di sana rata-ratanya dari Fakulti Kejuruteraan.

Pengalaman kurang menyenangkan – tidak ada cuma cuacanya terlalu dingin – suhu waktu kali pertama saya ke sana adalah -20 tetapi memandangkan kunjungan yang terbaru ini adalah pada bulan Mac, suhunya dalam 3 darjah celcius.

Apa-apapun, saya bersyukur dengan pengiktirafan dan lantikan ini kerana tidak mudah untuk sesebuah universiti luar negara (terutamanya dari negara-negara besar dan berpengaruh) untuk memberi pengiktirafan seperti ini kepada ahli akademik dari sebuah negara membangun.

Ini menunjukkan sistem pendidikan Malaysia tidaklah seburuk seperti yang disangka dan berkesan untuk melahirkan generasi yang mampu menggegar dunia, sekiranya anak Malaysia sendiri berusaha ke arah kejayaan. Berbanggalah kita menjadi anak Malaysia.

Sewaktu saya memberi kuliah, saya sempat mempromosi USIM dan​​ Malaysia sebagai sebuah negara yang berjaya dan dihormati, antaranya sebuah negara yang antara paling aman di dunia menurut Global Peace Index 2016 serta menyebut Kuala Lumpur sebagai kota yang paling banyak dikunjungi di dunia (menurut Business Insider) serta kepelbagaian kaum di Malaysia yang saling hidup berharmoni.

Penutup

Itulah antara kisah yang telah dikongsikan oleh Dr. Mohd Hazmi. Beliau membuktikan usia muda bukan penghalang dan kerjaya dalam bidang akademik juga memberikan pengalaman-pengalaman yang menarik.

Jadi profesor pelawat turut bermakna luas pemandangan apabila berpeluang melawat ke tempat orang. Apatah lagi perbelanjaan pengangkutan dan penginapan selama di luar negara ditanggung oleh pihak yang menjemput.

Bagi anda yang mahu jadi sepertinya, anda perlu memiliki jawatan sebagai pensyarah universiti. Malah, anda juga perlu pakar di dalam bidang yang diterokai agar dapat dikongsikan ilmu dan pengalaman dengan pihak yang berminat.

Contohnya, 3 sesi syarahan Dr. Mohd Hazmi ini dihadiri oleh pelajar-pelajar dan juga professor-profesor dari FEFU sendiri yang mahir berbahasa Inggeris dan berminat dengan tajuk syarahan, iaitu:

1. The History of the Legal Status of Straits under the Law of the Sea Convention 1982;
2. The South China Sea Arbitration 2016: How Does it Affect Southeast Asia?
3. Human Trafficking in Southeast Asia: An Unending Dilemma?

Jika anda berminat jadi seperti beliau, mula belajar bersungguh-sungguh agar dapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan. Jika anda sudah memiliki ijazah sarjana muda, mungkin ini masanya untuk anda fikir tentang sambung belajar ke peringkat yang lebih tinggi.

Sebelum mengakhiri ini, saya mahu anda tahu Angelina Jolie juga pernah menjadi profesor pelawat di universiti berprestij di Britain. Jolie yang merupakan duta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ialah salah seorang daripada 4 “profesor pelawat dalam amalan” yang menyumbang kepada bidang “wanita, keamanan dan keselamatan”.

Semoga sukses semuanya!

Jika anda berminat dengan segmen kerjaya, anda boleh membacanya di sini: Kerjaya