Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengadakan kerjasama strategik melalui Program Anak Emas mulai 15 Januari 2024.

Program Anak Emas merupakan inisiatif Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang memberikan bantuan secara one-off berjumlah RM200 kepada bayi yang berumur (2) tahun ke bawah dengan syarat salah seorang ibu atau bapa kepada bayi yang dilahirkan mestilah berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai pengundi di negeri Pulau Pinang.

Menerusi inisiatif ini, sebanyak RM100 diberikan dalam bentuk pembukaan akaun atau penambahan deposit Simpan SSPN Prime, manakala baki RM100 lagi dikreditkan ke dalam akaun bank pemohon yang layak.

Bagi menguar-uarkan inisiatif Program Anak Emas, PTPTN telah mengadakan Program Sumbangan Akaun Simpan SSPN Prime dan Barangan Bayi bertempat di Hospital Sebarang Jaya, Pulau Pinang. PTPTN berbesar hati memberikan sumbangan berjumlah RM10,000 untuk 50 kelahiran bayi baharu pada bulan Oktober 2025.

Sumbangan ini melibatkan pembukaan/ penambahan akaun Simpan SSPN Prime berjumlah RM100 dan cenderahati berupa hamper barangan bayi bernilai RM100 kepada setiap penerima.

Program ini telah disempurnakan oleh YB Puan Lim Siew Khim, Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam Pulau Pinang.

Program Anak Emas Dapat Sambutan Hebat, Catat Lebih RM700,000 Simpanan
YB Puan Lim Siew Khim, Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan
Islam Pulau Pinang bersama YBhg. Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim, Pengerusi PTPTN
bergambar bersama bayi kelahiran baharu semasa sesi ziarah Program Sumbangan
Akaun Simpan SSPN Prime dan Barangan Bayi sempena Program Anak Emas

YB Puan Lim Siew Khim, Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam Pulau Pinang berkata, “Saya gembira pelaksanaan Program Anak Emas melalui Simpan SSPN Prime telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan.

“Dalam tempoh 15 Januari 2024 hingga 30 September 2025, sebanyak 7,771 akaun telah dibuka atau dibuat penambahan simpanan berjumlah RM777,100.

“Tahniah kepada masyarakat Pulau Pinang kerana menjadi superhero kepada anak-anak melalui usaha menabung secara konsisten dalam Simpan SSPN,” tambah Lim Siew Khim.

Simpan SSPN merupakan produk simpanan PTPTN yang menawarkan pelbagai keistimewaan dan manfaat. Antaranya ialah pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan sehingga RM8,000.00 setahun, perlindungan takaful ke atas pendeposit, Geran Sepadan secara percuma sehingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak, kadar dividen yang kompetitif, simpanan dijamin Kerajaan dan patuh syariah.

Maklumat lanjut dan permohonan Program Anak Emas boleh dibuat secara dalam talian melalui isejahtera.penang.gov.my.