Proses perobohan salah satu stadium terbesar dalam negara, Stadium Shah Alam sudah bermula bagi memberikan laluan kepada pembinaan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA).

Melalui perkongsian Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Menteri Besar Selangor, Saipolyazan M Yusop beliau sempat memantau kerja perobohan yang dimulakan pada 1 Julai lalu.

Baca Juga:

“Alhamdulillah. Sempat singgah ke Stadium Shah Alam untuk melihat kerja perobohan dimulakan pada hari ini 1 Julai 2024.

“Saya mengarahkan pasukan projek dan kontraktor memastikan parameters pemantauan seperti bunyi, habuk, air, trafik dan lain-lain sentiasa dipantau bagi memastikan minimum gangguan kepada penduduk sekitar.” katanya melalui laman Facebook.

Banyak faktor yang mewajarkan pembinaan stadium baharu sebagai antara komponen KSSA, termasuk kos lebih efisien sekiranya kemudahan baharu serba moden didirikan dan melengkapi fasiliti moden dirancang.

Pembangunan KSSA yang dilaksanakan dalam tiga fasa hingga 2029, bakal dilengkapi stadium baharu serba moden dengan padang boleh alih, pusat latihan, dan fasiliti sukan yang disokong pembinaan terminal bersepadu, hotel dan ruang niaga komersial.

Pembangunan KSSA juga akan dilengkapi teater tertutup bagi aktiviti kebudayaan dan kesenian, selain kawasan rekreasi. Selain itu, pembangunan KSSA juga mengambil kira aspek persekitaran hijau yang turut digunakan sebagai kawasan tebatan banjir.

Semua elemen itu semestinya memanfaatkan rakyat dan KSSA memiliki nilai komersial yang lestari dan mampan.