Proton R3 (Race. Rally. Research) divisyen sukan permotoran (motorsport) dan prestasi tinggi milik PROTON dilaporkan telah menutup operasi sepenuhnya semalam.

Menerusi perkongsian Facebook Suriya Sankaran, tarikh 11 Julai 2025 merupakan hari terakhir baki para pekerja membuat tugasan mereka di pangkalan mereka di PROTON Shah Alam.

Ditamatkan Secara Senyap, Proton R3 Motorsport Terkubur?
Sumber Gambar: Instagram @protonr3

“Ia adalah hari yang memilukan bagi para peminat sukan permotoran, apabila cabang motorsport Proton yang suatu ketika dahulu begitu dibanggakan kini ditamatkan secara senyap.

“Kakitangan yang masih tinggal telah dipindahkan ke kilang PROTON di Tanjung Malim untuk meneruskan kerjaya mereka di barisan pengeluaran — jauh dari deruman enjin perlumbaan dan semangat persaingan yang suatu ketika dahulu menjadi nadi kepada kerja harian mereka,” katanya.

Difahamkan usaha untuk menghidupkan semula bahagian ini di bawah Proton Global Services (PGS) gagal untuk mengekalkan kelangsungan program motorsport mahupun operasi perniagaan komersialnya.

Divisyen itu mula kehilangan sepenuhnya momentumnya sejak pengambilalihan oleh DRB-HICOM pada tahun 2012, yang secara tidak langsung telah mengenepikan pasukan komersial yang bertanggungjawab membangunkan alat ganti berprestasi tinggi dan kit estetika, dan hanya meninggalkan pasukan perlumbaannya terus beroperasi.

Ditamatkan Secara Senyap, Proton R3 Motorsport Terkubur?
Sumber Gambar: Instagram @protonr3

“Pada zaman kegemilangannya, R3 bukan sekadar sebuah pasukan perlumbaan — ia merupakan tulang belakang kepada perniagaan alat ganti berprestasi tinggi Proton, dan bertanggungjawab menghasilkan beberapa model Limited Edition Variant (LEV) yang sangat digilai peminat. Kenderaan-kenderaan ini menjadi simbol keupayaan kejuruteraan Proton dan hubungan eratnya dengan komuniti peminat sukan permotoran.

“Walaupun tahun-tahun selepas 2012 lebih suram, R3 tetap meninggalkan kesan yang besar dalam dunia motorsport tempatan. Antara pencapaian paling membanggakan ialah kejayaan mereka menjuarai perlumbaan ketahanan berprestij Sepang 1000KM (S1K) pada tahun 2017, 2018 dan 2019 — satu legasi yang cukup bermakna dan akan terus dikenang.

“Kini apabila R3 mula melabuhkan tirainya, sumbangan mereka kepada sukan permotoran Malaysia dan jenama Proton tetap menjadi inspirasi. Ini bukan sekadar pengakhiran sebuah pasukan perlumbaan — ini penamat kepada sebuah era,” luah Suriya Sankaran.

Proton R3 Motorsport angkat PROTON ke persada dunia
Ditamatkan Secara Senyap, Proton R3 Motorsport Terkubur?
Sumber Gambar: Instagram @protonr3

Berita penutupan divisyen itu turut mendapat reaksi daripada Datuk Abdul Razak Dawood, individu penting dalam pengkomersilan jenama R3.

Memetik hantaran Facebook beliau, R3 bukan sahaja sinonim dengan kecemerlangan dalam perlumbaan, malah telah secara signifikan mengangkat jenama Proton, dengan tinjauan bebas menunjukkan nilai jenama R3 melebihi Proton sebanyak 27%.

Ia turut memainkan peranan penting kerana jenama itu membawa PROTON ke satu aras lebih tinggi.

“Lebih daripada sekadar rekod di litar, R3 memainkan peranan penting dalam membina budaya gaya hidup dan prestasi di sekeliling jenama Proton.

“Ia sangat berjaya dalam membangunkan alat ganti berprestasi tinggi, aksesori, barangan berjenama, serta kenderaan edisi terhad.

“Antaranya model ikonik Satria R3, yang bukan sahaja menjadi kegemaran pengumpul, malah membawa keuntungan sebenar kepada syarikat,” kata Datuk Abdul Razak.

Pada masa sama jenama Proton R3 turut mengangkat nama Malaysia ke arena antarabangsa dengan memenangi pelbagai perlumbaan seperti

– Juara FIA Production Car World Rally Championship (PWRC) pada tahun 2002
– Tiga kali juara Asia Pacific Rally Championship (APRC)
– Mendominasi rali Malaysia selama 8 tahun berturut-turut
– Pesaing utama dalam siri S2000 World Rally, dengan pelbagai penamat podium yang mengagumkan

Semua ini bukan sekadar pencapaian atas kertas — ini adalah bukti bahawa Proton, melalui komitmen dan kepakaran teknikalnya, mampu berdiri setanding dengan jenama-jenama besar di pentas dunia.

Datuk Abdul Razak turut meluahkan harapan agar semangat R3 diteruskan pada masa akan datang oleh pelapis baharu.

“Sebagai antara perintis yang memperkenalkan sukan permotoran ke dalam jenama Proton seawal tahun 1985 — dan terlibat secara aktif sehingga saya meninggalkan syarikat pada 2013 — saya amat berbangga dengan bagaimana Proton menggunakan motorsports sebagai pemangkin kepada pertumbuhan jenama dan pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

“Penutupan Proton R3 bukan sekadar pengakhiran sebuah pasukan perlumbaan — ia menandakan penutupan satu bab visi yang membentuk DNA Proton. Legasi R3 akan terus hidup — dalam setiap pemandu, jurutera, peminat, dan pemilik yang percaya bahawa Malaysia mampu menghasilkan kereta yang bukan sekadar bergerak, tetapi menginspirasi.

“Semoga semangat Proton R3 terus memacu masa depan sukan permotoran Malaysia,” kongsi harapan beliau.