Bagi peminat tegar dunia die-cast dan pemumpul model kereta skala tempatan, bersedia untuk mengosongkan ruang di rak pameran anda.

Sempena sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026, PROTON dengan bangganya mengumumkan kolaborasi rasmi bersama jenama mainan miniatur tempatan, Sunway Tiny Toys, untuk memperkenalkan koleksi model skala 1/64 terbaharu yang pastinya membuatkan ramai peminat tidak senang duduk.

Langkah ini merupakan sebahagian daripada inisiatif “Cerita Malaysia Kita”, sebuah kempen khas bagi meraikan rantaian memori, jenama ikonik, dan pengalaman harian rakyat Malaysia yang diterjemahkan ke dalam bentuk replika kecil bercirikan tempatan.

Dari Legasi Kampung Ke Era Elektrik (EV)

Istimewanya kolaborasi kali ini, Sunway Tiny Toys membawakan dua model yang mewakili dua era penting dalam lipatan sejarah automotif negara:

The All-New Proton Saga (Generasi Baharu/MC3): Sebuah model yang sangat dekat di hati rakyat Malaysia. Daripada memori perjalanan pulang ke kampung halaman sehinggalah menjadi kenderaan harian yang dipercayai, legasi Saga kini dikecilkan dalam skala 1/64 dengan perincian yang sangat luar biasa.

Proton e.MAS 5: Mewakili langkah pertama dan masa depan mobiliti negara ke arah transformasi kenderaan elektrik (EV), membolehkan anda memiliki sebahagian daripada sejarah pemanduan hijau Malaysia dalam saiz poket.

Walaupun bersaiz mini, kedua-dua model skala 1/64 ini dihasilkan dengan kualiti premium yang sangat teliti.

Antara perincian menarik yang disuntik termasuklah pintu hadapan dan penutup bonet yang boleh dibuka bagi mendedahkan replika enjin, rekaan rim yang seiras dengan model saiz sebenar, serta lampu hadapan jenis lensa jernih yang nampak realistik.

Boleh Dapatkan Di ‘The Model Car Show 2026’ (TMCS 2026)

Model Sunway Tiny Toys tersebut boleh didapatkan di The Model Car Show 2026 (TMCS 2026) yang bakal membuat kemunculan sulungnya di Kuala Lumpur pada hujung minggu ini.

Bagi peminat PROTON, pastikan anda menjadi antara yang terawal untuk menyerbu acara ini kerana Proton Saga dalam warna eksklusif ‘Marine Blue‘ bakal dilancarkan secara rasmi di sana.

Model warna terhad ini hanya boleh didapati di TMCS 2026 dalam kuantiti yang sangat terhad, selain terdapat pelbagai aktiviti dan tawaran istimewa menanti untuk setiap pembelian.

Berikut adalah butiran penuh acara untuk anda serbu:

Lokasi: Pusat Pameran Pavilion Bukit Jalil (Level 5, Pink Zone)

Tarikh: 27 & 28 Jun 2026 (Sabtu & Ahad)

Masa: 10:00 Pagi – 10:00 Malam

Kemasukan: PERCUMA!

Sama ada anda peminat setia Proton Saga tegar dari zaman dahulu, atau seorang pencinta teknologi EV yang kagum dengan evolusi e.MAS 5, koleksi mini ini adalah trofi wajib yang melambangkan identiti kemajuan kita sebagai rakyat Malaysia.