Dalam satu kenyataan terbaharu Menteri Pengangkutan, YB Anthony Loke Siew Fook menyatakan kilang terbaharu PROTON di Tanjung Malim bakal dilengkapi dengan kereta api.

Menurutnya, pihak PROTON, Railway Assets Corporation (RAC) dan Kereta Api Tanah Melayu Berhad (KTMB) sedang berbincang untuk membina sebuah jajaran sisihan (spurline) ke kawasan pengilangan berkenaan.

Baca Juga:

Ini supaya kenderaan-kenderaan EV yang dibina boleh diangkut melalui kereta api.

“Ini sejajar dengan dasar “Road to Rail” oleh MOT untuk mengurangkan kenderaan berat di jalan raya, memudahkan logistik ke pelabuhan dan bandar-bandar utama serta memangkinkan aktiviti industri dan pekerjaan tempatan,” kata Anthony Loke.

Menurut PROTON,cadangan hab logistik ini akan menyokong pembangunan Automotive High Tech Valley (AHTV) dengan meningkatkan kecekapan logistik melalui penggunaan pengangkutan rel bagi pergerakan kontena masuk dan keluar dari kawasan tersebut.

AHTV telah dikenal pasti sebagai projek berimpak penting oleh kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13, sekali gus menandakan ia sebagai projek berimpak tinggi yang akan merangsang ekonomi dengan dibangunkan sebagai hab kenderaan tenaga baharu (new energy vehicles) dan kenderaan generasi baharu (next generation vehicles) yang menarik pelaburan asing berskala besar.

Hab logistik yang dicadangkan ini akan memanfaatkan infrastruktur sedia ada untuk menyokong pembangunan ekonomi negara.

Hab logistik berasaskan rel ini juga menekankan komitmen AHTV terhadap kelestarian melalui pembangunan rangkaian logistik yang lebih mesra alam.

Usaha ini turut selaras dengan inisiatif Kementerian Pengangkutan untuk mengurangkan pengangkutan kontena melalui jalan raya dengan beralih kepada pengangkutan rel.