PROTON telah melancarkan Program Pertukaran PROTON Xchange bagi menggalakkan pemilik kenderaan lama yang dianggap tidak lagi selamat digunakan di jalan raya untuk menukarnya dengan model Proton baharu.

Program ini akan dijalankan bersama Car Medic Sdn Bhd, sebuah fasiliti rawatan automotif bertauliah (AATF), dan terbuka kepada semua pemilik kenderaan tanpa mengira jenama, petik kenyataan rasminya.

Baca Juga:

PROTON akan menawarkan sokongan overtrade sebanyak RM2,000 untuk pendaftaran kenderaan Proton baharu, termasuk Proton e.MAS 7.

Sebanyak RM4.8 juta telah diperuntukkan untuk program perintis yang akan berlangsung sehingga akhir Disember 2025.

PROTON Tawar Program 'Trade-In' Kereta Lama, Dapat Diskaun RM2,000 & Pengecualian Cukai Jalan Setahun
Sumber Gambar: PROTON
Cara untuk ‘trade-in’ di PROTON Xchange
  1. Kenderaan mestilah berumur 15 tahun atau lebih dan berada dalam keadaan yang dianggap tidak ekonomik untuk dibaiki bagi kegunaan yang selamat.
  2. Mana-mana kereta sedan, kenderaan pelbagai guna (MPV), van, kenderaan pacuan empat roda (4×4), lori dan bas yang memenuhi syarat-syarat tersebut layak menyertai program ini tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan seperti bukti pemilikan.
  3. Bagi melayakkan diri untuk insentif overtrade, kenderaan Proton baharu atau Proton e.MAS mesti didaftarkan sebelum akhir tahun ini.
  4. Pemilik kenderaan perlu mengemukakan Sijil Pemilikan Kenderaan (VOC) bagi kenderaan baharu bersama borang JPJK1KD sebagai bukti bahawa kenderaan lama telah dibatalkan pendaftarannya secara rasmi oleh JPJ, serta Sijil Pelupusan (COD) yang diperoleh daripada Car Medic.
  5. Untuk menambah nilai kepada manfaat Program PROTON Xchange, kenderaan baharu yang dibeli boleh didaftarkan atas nama waris terdekat pemilik, dan tidak terhad kepada nama pemilik asal sahaja.
PROTON Tawar Program 'Trade-In' Kereta Lama, Dapat Diskaun RM2,000 & Pengecualian Cukai Jalan Setahun
Sumber Gambar: Facebook Car Medic

Sementara itu, Car Medic, sebuah Fasiliti Rawatan Automotif Bertauliah (AATF) yang diperakui oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan dilantik oleh JPJ sejak tahun 2020, menawarkan perkhidmatan e-Dereg yang mudah (dari pintu ke pintu atau di fasiliti mereka) dan menguruskan semakan sekatan, pembatalan pendaftaran, penundaan, pelupusan selamat, serta pengeluaran Sijil Pelupusan (COD) bagi program ini.

Perkhidmatan e-Dereg membolehkan pemegang MyKad di kawasan terpilih untuk melengkapkan pembatalan pendaftaran JPJ secara digital di lokasi kenderaan mereka.

Car Medic turut membantu proses e-Dereg bagi kumpulan lebih daripada lima kenderaan dalam tempoh dua hari.

PROTON Tawar Program 'Trade-In' Kereta Lama, Dapat Diskaun RM2,000 & Pengecualian Cukai Jalan Setahun
Sumber Gambar: PROTON

Dalam pada itu, Menteri Pengangkutan Malaysia, YB Anthony Loke Siew Fook memuji inisiatif yang ditawarkan PROTON.

“Kementerian Pengangkutan menyokong inisiatif Program XChange dan menggalakkan lebih banyak pengeluar kenderaan (OEM) untuk mencontohi langkah PROTON dengan melihat melangkaui aspek jualan dan keuntungan semata-mata.

“Sehubungan itu, Kementerian Pengangkutan akan memberikan pengecualian cukai tahun pertama bagi semua kenderaan yang diperoleh melalui inisiatif ini.

“Syarikat automotif pertama Malaysia sekali lagi membuktikan peranannya sebagai ejen perubahan dalam industri automotif dan menjadi contoh teladan. Saya ingin mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada PROTON kerana mengambil inisiatif dan memimpin pelaksanaan Program XChange ini,” kata beliau.

Sumber