Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa Public Bank perlu membayar ganti rugi sebanyak RM90 juta kerana melanggar tanggungjawab statutori dan kerahsiaan dengan mendedahkan kepada umum akaun milik National Feedlot Corporation (NFC) serta tiga syarikat yang berkaitan.
Panel tiga hakim yang diketuai oleh Ketua Hakim Malaya, Hasnah Hashim, telah mengarahkan bank tersebut membayar RM30 juta masing-masing bagi ganti rugi saksama, ganti rugi teladan, dan ganti rugi teruk, petik Free Malaysia Today.
Baca Juga:
- Maybank Dan Public Bank Sahkan Tidak Akan Mengenakan Caj Transaksi DuitNow QR
- Top Glove Ambil Tempat Public Bank, Jadi Syarikat Kedua Dengan Saham Paling Berharga Di Bursa Malaysia
- Public Bank Peroleh Keuntungan RM1.42 Bilion Sepanjang Q1 2018
“Public Bank hendaklah membayar faedah 2% ke atas jumlah penghakiman berkuat kuasa hari ini sehingga bayaran ganti rugi diselesaikan,” katanya.
Turut bersidang bersama beliau ialah Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli dan Hakim Abu Bakar Jais.
Mahkamah telah menolak rayuan Public Bank terhadap liabiliti bulan lalu.
Sebelum ini, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa NFC gagal membuktikan kerugian, dan hanya diberikan ganti rugi nominal sebanyak RM10,000.
Namun, Hasnah berkata Mahkamah Rayuan telah melakukan kesilapan dalam dapatan tersebut.
“Perayu (NFC) telah mengemukakan laporan kewangan dan akaun yang telah diaudit melalui saksi pakar mereka,” katanya, sambil menambah bahawa pihak bank tidak memanggil sebarang saksi untuk mencabar kredibiliti saksi tersebut.
Justeru, dokumen yang dikemukakan oleh pihak perayu kekal tidak dicabar, kata Hasnah.
Dalam penyataan tuntutan mereka, NFC, pengerusinya Salleh Ismail, serta anak-anak syarikatnya iaitu National Meat & Livestock Corporation Sdn Bhd dan Agroscience Industries Sdn Bhd telah menuntut ganti rugi sebanyak RM560 juta.
Mereka menuntut RM60 juta dalam bentuk ganti rugi am dan RM500 juta bagi ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan.