Sebelum ini majoriti netizen menggesa pihak Touch ‘n Go untuk membolehkan kadnya ditambah nilai secara atas talian menggunakan telefon pintar. Bagaimanapun, perkara itu tidak dapat dilaksanakan atas sebab ketiadaan fungsi NFC pada kad tersebut.
Terbaharu, Touch ‘n Go telah berkongsi perkembangan terkini di mana kad versi baharu yang mempunyai teknologi NFC terbina akan diperkenalkan dalam beberapa minggu lagi. Sekaligus ia membolehkan orang ramai menambah nilai kad mereka secara terus menerusi aplikasi mudah alih Touch ‘n Go e-Wallet.
“Kad Touch ‘n Go yang kami ada dalam edaran sejak 20 tahun lalu tidak mempunyai keupayaan untuk menambah nilai terus kad anda daripada e-Wallet kerana anda memerlukan pembaca kad khusus untuk benar-benar melakukan transaksi atas sebab-sebab keselamatan,” terang Ignatius Ong, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TNG Digital Sdn Bhd.
Setakat artikel ini ditulis, timbul beberapa persoalan di kalangan orang ramai seperti adakah kad lama langsung tidak boleh digunakan terus, kad baharu boleh didapatkan secara percuma atau berbayar dan bolehkah baki daripada kad lama dipindahkan ke kad baharu?
Dalam satu ciapan balas yang dikongsikan oleh akaun Twitter @MyTouchnGo, Touch ‘n Go menyatakan akan mengemaskini info semasa mengenai kad baharu tersebut melalui laman web mereka dari semasa ke semasa.
Sebelum ini orang ramai menggesa pihak Touch ‘n Go meniru seperti Indonesia yang boleh menambah nilai kad menerusi telefon pintar. Baca lebih lanjut melalui pautan di bawah.
Proses Tambah Nilai Kad Jauh Lebih Mudah, Netizen Mahu Touch ‘n Go Tiru Seperti Indonesia
Wanita Bayar Tol Dan Barangan Farmasi Guna ‘Jam Tangan TnG’ Raih Perhatian Ramai