Pulau Pinang bakal memiliki medan selera baharu bernilai RM20 juta di Bukit Bendera dengan kerja-kerja merobohkan struktur sedia ada kini sedang giat dijalankan.

Menurut sumber laporan Malay Mail, projek ini dijadualkan bermula seawal Julai atau Ogos tahun ini dan dijangka menjadi antara tarikan utama baharu di kawasan tanah tinggi popular tersebut.

Baca Juga:

Pengurus Besar Penang Hill Corporation, Datuk Cheok Lay Leng berkata kerja-kerja perobohan Astaka lama sedang berjalan dan kini telah 60 peratus siap.

Medan Selera Baharu Bukit Bendera

“Kami menyasarkan untuk menyiapkan kerja-kerja perobohan sebelum Julai supaya pembinaan kompleks makanan baharu dapat dimulakan pada Julai atau Ogos.”

“Para penjaja telah pun berpindah ke medan selera sementara. Fasa kedua yang melibatkan perobohan Astaka lama, kini sedang berjalan.”

“Kami juga perlu menjalankan kerja penstabilan cerun bagi memastikan keselamatan memandangkan tapak ini terletak di lereng bukit.”

“Kerja ini hanya boleh dilaksanakan selepas struktur lama dirobohkan,” tambah Cheok lagi.

Medan selera baharu itu direka untuk menampung lebih ramai pengunjung dengan kapasiti yang ditingkatkan kepada kira-kira 600 orang dalam satu-satu masa berbanding Astaka lama.

“Struktur baharu ini akan dibina untuk tahan lebih lama dan menampung jumlah pengunjung yang lebih besar.”

Pembinaan dijangka siap menjelang akhir tahun 2026 dengan sasaran untuk membuka medan selera itu kepada orang awam pada Disember 2026.

Tarikh siap projek ini dijangka selari dengan projek kereta kabel yang sedang berjalan dimana menurut Cheok akan meningkatkan daya tarikan Bukit Bendera.

“Kami berharap projek-projek ini akan menyediakan lebih banyak tarikan kepada para pengunjung Bukit Bendera,” katanya.

Sumber