Tindakan seorang bapa meninggalkan anak lelakinya di tepi jalan raya sehingga kanak-kanak berkenaan terjatuh membawa padah apabila dia ditahan polis berhampiran Plaza Tol Nilai, susulan rakaman insiden itu yang tular di media sosial baru-baru ini.
Suspek, seorang lelaki warga China berusia 45 tahun, ditahan di sebuah kediaman di Jalan Cheras, Kuala Lumpur pada jam 12.15 tengah hari, Selasa. Pihak polis turut menyita sebuah kenderaan jenis Perodua Axia berwarna putih yang dipercayai dipandu ketika kejadian.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Johari Yahya berkata, hasil siasatan mendapati suspek mengakui penglibatannya dalam insiden berkenaan, petik Sinar Harian.
Menurut Johari, suspek bersama keluarganya sedang dalam perjalanan dari Cheras menuju ke Pantai Bagan Lalang, Selangor bagi tujuan riadah melalui Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) kira-kira jam 1 tengah hari semalam.
“Ketika dalam perjalanan, mangsa yang merupakan anak sulung berusia 12 tahun dilaporkan bertengkar dengan adiknya. Pertengkaran itu menimbulkan kemarahan suspek sehingga dia memberhentikan kenderaan di bahu jalan lalu mengarahkan mangsa keluar.
“Suspek kemudian meninggalkan mangsa di lokasi terbabit dan meneruskan pemanduan kononnya bertujuan memberikan pengajaran kepada anaknya agar tidak mengulangi perbuatan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, suspek mendakwa melihat mangsa berpaut pada pintu belakang kereta sebelum terjatuh di atas jalan raya. Menyedari kejadian itu, suspek berpatah balik untuk mengambil mangsa lalu membawanya ke sebuah klinik swasta di Bandar Baru Nilai bagi mendapatkan rawatan.