Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) hari ini mengumumkan laporan akhir nahas dua helikopter yang mengorbankan 10 pegawai dan anggotanya di Lumut, Perak pada 23 April lalu.

Lembaga Siasatan mendapati faktor utama yang menyebabkan nahas tersebut berlaku adalah disebabkan helikopter Fennec tidak berada pada ketinggian serta haluan ditetapkan dan memasuki laluan helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139).

Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob, berkata dapatan itu diperoleh selepas semakan rakaman video berdurasi 7 saat kedudukan tujuh helikopter yang terbabit dalam raptai Hari Ulangtahun TLDM ke-90.

“Pada hari sebenar kita ada tujuh helikopter yang terbabit dalam formasi lintas hormat dan saya ingat semua tahu yang terbabit dalam nahas ialah HOM AW139 dan Fennec.

“Melalui data yang ada boleh lihat anda boleh lihat perbezaan di kedua-dua tepi kiri dan kanan formasi itu,” katanya.

“Faktor utama mendapati pesawat Fennec tidak berada pada ketinggian dan haluan yang ditetapkan serta memasuki laluan pesawat Helikopter Operasi Maritim (HOM) AW139.

“Berdasarkan rakaman kedudukan semua pesawat berkenaan, dua helikopter yang terbabit dalam nahas udara berada pada haluan dan ketinggian berbeza dengan dua lagi pesawat yang berada di haluan sebelah kanan.

“Faktor sekunder mendapati Channelized attention atau tumpuan utama kru pesawat AW139 yang tertumpu ke arah pertukaran haluan telah mengehadkan reaksi mengelak pelanggaran,” katanya dipetik dalam Berita Harian.

Mereka yang terkorban dari helikopter HOM-AW139 ialah Kdr Muhammad Firdaus Ramli; Lt Kdr Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin; Lt Kdr Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi; PW II TLR (AQM) Muhammad Faisol Tamadun; PW II TNL Noorfarahimi Mohd Saedy; BM TNL Noor Rahiza binti Anuar (Penumpang) dan LK I JJM Joanna Felicia anak Rohna.

Manakala dari pesawat Fennec dikenal pasti sebagai Kdr Muhamad Amir Mohamad; Lt T Sivasutan dan PW II TMK Mohd Shahrizan Mohd Termizi.

Nahas itu juga menjadikan Malaysia tumpuan media antarabangsa yang mengikuti perkembangan kejadian itu dari seluruh dunia.