Semalam, negara dikejutkan dengan tragedi dua helikopter bertembung dan terhempas ketika sedang menjalani raptai Perbarisan Hari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut.

Menurut laporan, seramai 10 kru terkorban iaitu tujuh kru helikopter jenis AW139 dan tiga kru helikopter Fennec TLDM.Kedua-dua helikopter itu berlepas dari Padang Sitiawan pada pukul 9.03 pagi.

Baca Juga:

Pesawat AW139 terhempas di tangga Stadium TLDM Lumut manakala pesawat Fennec terhempas di kolam renang Kompleks Sukan TLDM Lumut.

Malah, nahas itu juga menjadikan Malaysia tumpuan media antarabangsa yang mengikuti perkembangan kejadian itu dari seluruh dunia.

Kebanyakan portal media antarabangsa berkongsi video rakaman insiden nahas helikopter tersebut yang disifatkan mereka sebagai sesuatu yang amat mengejutkan sekaligus menjadi bualan masyarakat dari pelbagai negara.

Antara agensi berita antarabangsa yang melaporkan kejadian itu adalah Reuters, Al-Jazeera, AP, AFP, CNN, South China Morning Post, BBC, NDTV World, Daily Mail dan The Sun UK.

Perkongsian berita tersebut turut menarik perhatian peminat pasukan ketenteraan yang ingin tahu punca kemalangan itu berlaku selain menzahirkan perasaan simpati.

TDLM dalam satu kenyataan media berkata, pihaknya akan menubuhkan Lembaga Siasatan bagi mengenal pasti punca dua helikopter bertembung dan terhempas di Pangkalan TLDM Lumut, yang mengorbankan 10 pegawainya.

Mereka yang terkorban dari HOM-AW139 dikenal pasti sebagai Kdr Muhammad Firdaus Ramli; Lt Kdr Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin; Lt Kdr Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi; PW II TLR (AQM) Muhammad Faisol Tamadun; PW II TNL Noorfarahimi Mohd Saedy; BM TNL Noor Rahiza binti Anuar (Penumpang) dan LK I JJM Joanna Felicia anak Rohna.

Manakala dari pesawat Fennec dikenal pasti Kdr Muhamad Amir Mohamad; Lt T Sivasutan dan PW II TMK Mohd Shahrizan Mohd Termizi.