Dua helikopter milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang membawa 10 kru dilaporkan berlanggar dan kemudiannya terhempas di Lumut, Perak pagi ini ketika menjalani raptai sempena Ulang Tahun Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ke-90.

Menurut laporan, kejadian itu membabitkan helikopter jenis AW139 dan Fennec yang berlanggar sesama sendiri ketika penerbangan.

“Kedua-dua helikopter jenis HOM (M503-3) dan Fennec (M502-6) itu berlepas dari Padang Sitiawan pada pukul 9.03 pagi.

“Pesawat HOM terhempas di tangga Stadium TLDM Lumut manakala pesawat Fennec terhempas di kolam renang Komplek Sukan TLDM Lumut,” kata kenyataan yang dikeluarkan oleh Tentera Diraja Malaysia.

Helikopter Terhempas

Menurut laporan Berita Harian, seramai 10 mangsa terdiri daripada empat kru dan tiga penumpang maut dalam kejadian tersebut. Berdasarkan video yang tersebar di laman media sosial, kedua-dua helikopter dipercayai bertembung ketika hendak membentuk formasi penerbangan raptai lintas hormat yang dirancang berlangsung di ruang udara Pangkalan TLDM Lumut.

Menerusi rakaman itu juga kelihatan serpihan daripada badan helikopter terhempas melayang jauh hingga terjatuh di lokasi rakaman.

Dalam perkembangan sama, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng, Saiful Rizan Sulaiman berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 9.50 pagi.

Katanya, pihak bomba sedang giat melakukan kerja-kerja mengeluarkan mangsa yang tersepit di lokasi nahas.