Tindakan seorang lelaki cuba mencuri sebuah pembesar suara di Masjid Iktikaf Baba Mama, Peringat di sini Rabu lalu tidak kesampaian apabila kegiatannya itu disedari ahli jawatankuasa (AJK) masjid tersebut.

AJK masjid yang tinggal bersebelahan masjid itu melihat suspek yang berusia dalam lingkungan 30-an cuba memecah pintu gril masjid menerusi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di rumahnya kira-kira pukul 6 petang, lapor Kosmo.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Imam Masjid Iktikaf Baba Mama, Azizi Noh, 60, berkata, dia bergegas ke lokasi kejadian selepas dimaklumkan oleh rakannya untuk menangkap suspek, namun lelaki itu sudah melarikan diri menaiki sebuah kereta yang sedang menunggunya di luar pagar masjid.

Menurutnya, suspek didapati sudah mengumpil mangga pada pintu jeriji masjid dan menarik wayar pembesar suara itu yang berada di ruang solat wanita.

“Peralatan itu sudah berada di hadapan pintu masjid dan hanya menunggu masa untuk suspek membawanya keluar. Lelaki itu juga sempat menyelongkar kabinet yang menempatkan banyak naskhah al-Quran.

“Siasatan dalaman pihak masjid mendapati, suspek pernah beberapa kali mencuba untuk mencuri pembesar suara di sini sebelum ini, namun gagal,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Masjid Iktikaf Baba Mama, Peringat, Melor, Kelantan.

Menurut imam itu lagi, satu set pembesar suara yang dianggar bernilai RM1,200 hilang di masjid tersebut dan AJK masjid percaya suspek sama yang mencuri peralatan tersebut.

Menurutnya, kali ini, lelaki itu tidak sempat mengangkat keluar pembesar suara itu apabila kegiatannya disedari AJK masjid menerusi CCTV.

“Suspek juga tidak sempat membawa beg miliknya yang mengandungi peralatan untuk memecah masuk masjid dan wang tunai sebanyak RM1.

“Pihak masjid masih belum membuat laporan polis berhubung kejadian itu. Kami akan membuat laporan dalam masa terdekat,” katanya.